Guardiola mula risau krisis di City
PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola mula risau dengan krisis kecederaan yang dialami pemainnya ketika ini.
Menurutnya, dia khuatir The Citizen bakal kehilangan rentak dalam beberapa perlawanan penting dalam saingan Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara sekiranya lebih ramai pemainnya mengalami kecederaan.
City sudah kehilangan Aymeric Laporte, Leroy Sane Rodri dan Oleksandr Zinchenko yang mengalamai kecederaan dan perlu berehat panjang.
Zinchenko tidak dapat bermain selama enam minggu kerana kecederaan lutut manakala, Rodri pula dijangka hanya akan kembali penghunjung November selepas mengalami masalah kecederaan pada hamstringnya.
"Untuk jangka masa pendek, mungkin ia tidak menjadi masalah. Tetapi, jika untuk waktu panjang, saya tidak tahu.
"Masalah mula akan timbul apabila menentang pasukan kuat. Kami akan kehilangan pemain yang beraksi di posisi penting. Saya tidak tahu apa yang akan terjadi," katanya.
Guardiola turut tidak menolak bakal memanggil pemain akademi pasukan itu sekiranya berdepan masalah kecederaan pemain yang serius.
"Walau apa jua keadaan, kami perlu mengharunginya. Kami mempunyai pemain akademi yang boleh digunakan dan saya akan menilai perkara tersebut.
"Dalam bola sepak anda tidak boleh menjangkakan apa yang akan berlaku. Kami terpaksa memikirkan alternatif dalam satu musim yang cukup panjang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!