Pengutip besi didakwa miliki barangan berkaitan LTTE

Tertuduh (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Selayang pagi tadi.
Tertuduh (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Selayang pagi tadi.
A
A
A

SELAYANG - Seorang pengutip besi didakwa atas dua pertuduhan memiliki item berkaitan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di dalam kereta dan kediaman di Rawang Selangor pada 10 Oktober lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada A Kalaimughilan, 28, yang mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin di Mahkamah Sesyen Selayang di sini hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki item yang berkaitan dengan LTTE pada 10 Oktober 2019, di sebuah rumah pada jam 12.35 petang di Jalan Anggerik, Bukit Sentosa Rawang, Selangor dan melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 130 JB(1) (a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah peruntukan sama.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama pada tarikh yang sama pada jam 9.30 pagi di dalam kereta jenis Mitsubishi di hadapan rumah di Jalan Anggerik, Bukit Sentosa Rawang, Selangor.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum tujuh tahun penjara atau denda dan dilucutkan hak mana-mana ke atas item yang dimiliki.

Timbalan Pendakwaraya, Rohaiza Abd Rahman tidak menawarkan sebarang wang jaminan terhadap tertuduh ekoran kesalahan yang dilakukan amat serius dan tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun peguam yang mewakili tertuduh, V Yoges, memohon agar mahkamah memberi jaminan terhadap anak guamnya memandangkan pertuduhan yang dijalankan tidak dirujuk di bawah Kesalahan Keselamatan (Langkah- Langkah Khas) 2012 (Sosma) kerana dikatakan mempunyai hubungan dengan LTTE.

Yoges turut menegaskan, anak guamnya sejak ditahan terpaksa meninggalkan bapanya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) berusia 65 tahun yang bersendirian dan sebelum ini dijaga tertuduh.

Artikel Berkaitan:

Di samping itu, Yoges juga memohon jaminan terhadap anak guamnya ekoran tertuduh sebelum ini pernah terlibat dalam kemalangan April lalu sehingga menyebabkan dia mengalami masalah sakit kepala dan pinggang yang teruk selain perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Sungai Buloh.

Bagaimanapun Rohaiza dalam hujah balasnya, masih tidak menawarkan wang jaminan dan menjelaskan Sosma adalah prosedur perbicaraan dan bukannya kesalahan.

"Pertuduhan itu tidak perlu dijelaskan melalui akta Sosma memandangkan ia sudah jelas dan telah dirujuk dalam kes berkenaan sebelum ini," katanya.

Mahkamah tidak menawarkan sebarang wang jaminan dan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 16 Disember ini.

Sementara itu di luar mahkamah, isteri tertuduh, M Tamil Malar, 27, menangis selepas prosiding mahkamah itu selesai dan tetap mempertahankan suaminya bukan pengganas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!