Kuasa, harta dan korupsi

No Image Caption
A
A
A

DALAM satu surat kepada amil Mesir Al-Asytar Al-Nakha’i, Saidina Ali bin Abi Talib menyarankan agar beliau membanyakkan gaji yang dibayar kepada pekerja.

Ini sebagai satu motivasi kepada para pekerja tadi untuk menyempurnakan tugasan yang diberikan dengan baik dan sebagai suatu langkah pro aktif bagi mengelak para pekerja tadi daripada menyalahgunakan harta negara (dibaca harta rakyat) terutamanya menerusi amalan rasuah.

Menyentuh tentang masalah gaji dan upah ini, rata-rata penduduk Malaysia berhadapan dengan isu kos sara hidup dan ketidakcukupan pendapatan bagi menampung keperluan harian mereka.

Dalam satu laporan kajian terkini yang dibuat oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang bertajuk “Financial Behaviour and State of Financial Well-Being of Malaysian Working Adults” yang melibatkan 3,540 responden, dapatan menunjukkan 2 daripada 10 responden ini gagal untuk membuat sebarang tabungan untuk tempoh 6 bulan yang lepas.

Punca kegagalan menabung pula dikaitkan dengan peningkatan kos sara hidup. Kajian juga mendapati 28% atau 3 daripada 10 responden meminjam bagi tujuan membeli barangan.

65% responden yang bekerja di sektor awam membuat pinjaman peribadi.

Sebaliknya responden yang bekerja di sektor swasta merupakan golongan yang paling ramai mempunyai hutang kad kredit.

Sementara itu 53% daripada responden yang bergaji RM2,000 sebulan tidak mampu menyediakan dana sebanyak RM1,000 semasa berlaku kecemasan.

Artikel Berkaitan:

Keadaan ini seterusnya menjelaskan mengapa 66% daripada mereka yang bergaji kurang RM2,000 dan 57% mereka yang bekerja di sektor keselamatan, penguatkuasaan dan pembuatan berkesukaran untuk membayar bayaran rawatan berjumlah RM2,500 dan ke atas.

Sepintas lalu jika kita kaitkan pesanan Saidina Ali dengan dapatan kajian gelagat kewangan yang dilakukan oleh AKPK, kita boleh membuat satu rumusan dangkal bahawa rasuah dikaitkan dengan gaji yang rendah.

Bagaimanapun dalam senario semasa Malaysia, hubungan gaji rendah dengan isu rasuahnya rasanya tidak timbul. Sebaliknya di negara kita, orang yang berpengaruh, berpelajaran tinggi, dan berpangkat besar lebih ramai dikaitkan dengan masalah rasuah.

Jika tidak pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tentulah tidak akan begitu sibuk dengan pelbagai penyiasatan kes rasuah yang melibatkan tokoh politik dan para pembantu mereka yang terdiri daripada golongan korporat dan kakitangan atasan kerajaan yang lepas.

Saiz rasuah dan penyelewengan yang disiasat pula bukanlah dalam jumlah yang kecil. Malah ada yang melibatkan berbilion ringgit.

Kerakusan golongan ini tidak terhad kepada dana-dana kerajaan seperti 1MDB, malah mereka turut menjarah dana-dana yang ditubuhkan atas titik peluh masyarakat awam dan golongan petani atau peladang seperti Felda dan TH.

Bukan itu saja, dana-dana yang sepatutnya disalurkan bagi meningkatkan kemudahan pendidikan juga turut disapu.

Justeru apakah yang mendorong mereka ini untuk melakukan rasuah sedangkan mereka sudah ada pangkat, kuasa dan kekayaan yang pada pandangan kasar kita sudah mencukupi bagi mereka menjalani satu kehidupan yang selesa?

Di dalam Surah al-Takathur (yang bermaksud bermegah-me-gah), ALLAH SWT telah mengingatkan bahawa manusia itu bersifat cuai dan lalai.

Kelalaian ini berakar umbi daripada sifat dan naluri manusia yang suka bermegah-megah dalam usaha mencari kekayaan, pangkat, kedudukan dan keturunan; serta mencari orang-orang yang menyokong dan membantunya.

Disebabkan kegilaan segolongan manusia ini mengejar kemewahan, pangkat dan harta, maka ada juga pihak-pihak yang sanggup bersekongkol dan mengampu mereka yang berkuasa serta berpengaruh bagi mendapatkan apa hajati daripada kemewahan dunia ini.

Apa yang mendukacitakan ialah disebabkan kerakusan dan ketamakan golongan ini maka ada sekelompok besar ahli masyarakat yang terpaksa menanggung kesannya.

Rasuah bukan sahaja menghalang pertumbuhan ekonomi tetapi turut memberi kesan yang hebat ke atas kesaksamaan kekayaan dan kesejahteraan kehidupan dalam kalangan penduduk.

Dapatan kajian oleh AKPK yang dinyatakan sebelum ini adalah satu bukti kesan yang dimaksudkan di sini.

Kepada penguasa, ahli politik mahupun para penyokong mereka, mungkin petikan titah ucapan Sultan Nazrin semasa majlis sambutan maulidur Rasul SAW peringkat kebangsaan baru-baru ini wajar direnungi bersama:

“Baginda (SAW) tidak terpesona dengan kemewahan dunia, jauh sekali tergoda untuk membina kekayaan diri dan kekayaan famili. Tidak ada orang yang menjadi kaya kerana berdamping dengan Baginda (SAW), [di] sebaliknya, orang telah sedia kaya mengorbankan kekayaan mereka untuk menyokong perjuangan Baginda (SAW).”

* Penulis Felow, Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!