Dibelasah gara-gara dituduh cuba curi lembu
DUNGUN - Seorang lelaki diikat sebelum ditumbuk dan dipukul dengan kayu gara-gara dituduh mahu mencuri lembu berhampiran kolam Pelung, Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), di sini, Jumaat lalu.
Akibatnya, mangsa berusia 44 tahun tidak hanya trauma, bahkan turut lebam pada tangan dan mata serta luka di kepala.
Menurut sumber, kejadian berlaku jam 4.05 petang, mangsa ketika itu berada di lokasi kejadian sebelum didatangi seorang lelaki yang dikenali berusia 50-an.
Kata sumber, tanpa banyak soal suspek terus menuduh mangsa hendak mencuri lembu miliknya tetapi tuduhan tersebut dinafikan.
"Tanpa menghiraukan penafian itu, suspek terus menumbuk muka sebelum mengambil parang dan cuba hendak menetak tetapi mangsa bernasib baik apabila sempat mengelak.
"Masih tidak berpuas hati, suspek mengambil tali yang dibawa dan bertindak mengikat mangsa sebelum mengambil dahan kayu lalu terus memukul lelaki itu.
"Tanpa menghiraukan rayuan dan penafian mangsa, suspek terus membelasahnya dengan mengambil pelepah pokok kelapa dan memukul tangan lelaki itu hingga lebam," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sumber berkata, akibat dipukul bertubi-tubi, mangsa tidak mampu melawan sebelum ditinggalkan dalam keadaan tidak bermaya di lokasi.
"Tidak berpuas hati diperlakukan sedemikian, mangsa mengambil keputusan membuat laporan polis keesokan harinya untuk tindakan lanjut," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.
Jelasnya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!