Dua warga Vietnam melecur pangsapuri terbakar

Keadaan unit pangsapuri yang disewa dua warga asing tersebut selepas terbakar.
Keadaan unit pangsapuri yang disewa dua warga asing tersebut selepas terbakar.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Seorang lelaki dan wanita warga Vietnam melecur di badan apabila pangsapuri disewa mereka di Forest City di sini terbakar semalam.

Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Sarhan Akmal Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.57 petang.

Menurutnya, operasi pemadaman api membabitkan seramai 19 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri dan Skudai.

“Kebakaran membabitkan sebuah unit rumah berkeluasan 25x30 kaki yang berada di tingkat 26 pangsapuri berkenaan.

“Bagaimanapun, kebakaran yang menyaksikan 65 peratus unit rumah tersebut musnah dijilat api telah dipadamkan oleh Bomba Forest City sebelum bantuan sampai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sarhan Akmal berkata, pihaknya juga menerima makluman terdapat dua mangsa dipercayai penyewa unit pangsapuri itu yang tercedera dalam kebakaran itu.

“Mangsa merupakan warganegara Vietnam, bagaimanapun kedua-duanya telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebelum ketibaan pihak bomba,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!