CEO PTHM didakwa miliki item berkaitan LTTE

20
20
A
A
A

ALOR GAJAH - Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Gajah di sini atas pertuduhan memiliki item kumpulan pemisah dan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

S Chandru, 38, yang mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar. Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia dituduh memiliki item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan LTTE di dalam sebuah telefon bimbit di sebuah rumah di Kampung Bukit Balai, di sini jam 10.20 pagi pada 12 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan dilucutkan hak item itu, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad manakala tertuduh diwakili sepasukan tiga peguam diketuai Ramkarpal Singh yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor.

Bagaimanapun tiada penawaran jaminan kepada tertuduh mengikut Bab VIA (6A) atas kesalahan berkaitan keganasan.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum itu tertuduh, bersama dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka dan Negeri Sembilan didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini atas pertuduhan didakwa memberi sokongan kepada kumpulan LTTE.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!