Macam pesta orang ramai kutip ikan 'mabuk'
TELUK INTAN - Ibarat pesta, orang ramai yang melalui kawasan Batu 7, Jalan Changkat Jong di sini mengutip ikan yang tiba-tiba timbul di Sungai Sungkai Mati di sini pada Sabtu lalu.
Seorang penduduk, Mohamad Hazhar Mohamed Ikhsan berkata, keadaan itu menyebabkan penduduk bimbang mengenai keadaan sungai yang dikhuatiri tercemar.
Menurutnya, ikan yang kebanyakannya spesis baung itu pada mulanya timbul tercungap-cungap di permukaan air sebelum beberapa hari selepas itu mati.
"Masa kejadian orang luar ramai datang kutip ikan itu sebab semuanya timbul. Ikan-ikan itu macam mabuk. Kami penduduk setempat memang tak berani ambil ikan yang timbul itu untuk makan.
"Ini bukanlah kejadian pertama berlaku tetapi sebelum ini dah pernah berlaku. Kami rasa ia berlaku disebabkan pencemaran di sungai ini," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Menurutnya, keadaan itu cukup membimbangkan kerana sungai tersebut sering digunakan penduduk setempat dan orang luar untuk memancing ikan.
Mohamad Hazhar berkata, penduduk tempatan bimbang pencemaran itu boleh menjejaskan risiko kesihatan seterusnya mengancam hidupan di sungai tersebut.
Jelasnya, disebabkan itu penduduk kampung telah membuat laporan polis dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk tindakan selanjutnya.
Dalam pada itu Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Norazizi Adinan yang dihubungi Sinar Harian mengesahkan pihaknya menerima aduan mengenai kejadian itu.
Katanya, siasatan yang dibuat oleh JAS Cawangan Teluk Intan mendapati Sungai Sungkai Mati telah dicemari oleh limpahan effluen terawat dari salah satu sistem furrow (pelupusan effluen terawat di atas tanah) sebuah kilang berhampiran yang pecah akibat hujan lebat.
Beliau berkata, pihaknya telah mengeluarkan arahan segera terhadap kilang berkenaan berikutan insiden itu.
Menurutnya, pihak kilang tersebut telah membaiki runtuhan berkenaan serta-merta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!