Lelaki maut dipijak gajah di Mersing
MERSING - Seorang lelaki maut dipercayai akibat diserang dan dipijak gajah di Mersing, malam tadi.
Ketua Polis Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, mangsa ditemui orang awam di tepi jalan ladang di Lenggor, Jemaluang, Mersing kira-kira jam 8 malam.
Namun, lelaki yang tidak diketahui identiti itu disahkan meninggal dunia ketika tiba di Hospital Mersing untuk rawatan.
"Polis terima makluman penemuan seorang lelaki yang cedera parah di tepi jalan ladang di Lenggor akibat diserang dan dipijak gajah.
"Mangsa dihantar ke hospital oleh orang awam dan disahkan meninggal dunia semasa sampai di hospital.
"Butiran lengkap mangsa belum diperolehi dan siasatan masih dijalankan untuk mengetahui identiti mangsa serta punca kematian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, ketika kejadian, mangsa yang dipercayai warga asing itu memakai t-shirt berkolar warna hijau muda.
"Mangsa dikatakan pekerja ladang berhampiran tempat kejadian, berkulit gelap, badan sederhana, tinggi lebih kurang 165 hingga 170 sentimeter berumur antara 35 hingga 45 tahun.
"Sesiapa yang mempunyai maklumat tentang mangsa untuk tampil membantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!