Maqis rampas daging babi, buaya di lapangan terbang

508037
508037
A
A
A

IPOH - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Perak merampas barangan keluaran pertanian seperti daging babi, daging buaya dan buah-buahan yang dibawa oleh penumpang di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) secara tidak sah sepanjang Oktober ini.

Pengarah Maqis Perak, Zamri Hashim berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas penumpang, pihaknya telah merampas 50 kilogram (kg) produk daging babi, 5kg daging buaya dan 30kg produk pertanian lain.

Menurutnya, nilai rampasan keseluruhan barangan tersebut dianggarkan berjumlah RM2,000.

"Rampasan yang paling banyak adalah produk berasaskan babi seperti daging segar, daging perap dan sosej. Arahan larangan import produk babi telah dikeluarkan oleh kerajaan bagi mengelakkan penyebaran wabak demam babi Afrika (ASF) dari pelbagai negara terutamanya dari China, Hong Kong, Laos, Myammar, Kemboja, Poland, Belgium termasuk Vietnam.

"Pelbagai produk ini cuba dibawa masuk oleh penumpang walaupun larangan telah dikeluarkan oleh Jabatan Maqis," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Zamri berkata, tindakan mengimport produk haiwan tanpa permit import dan melanggar syarat-syarat import itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 11 (1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11 (3) yang sama.

Katanya, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

"Maqis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam mengimport atau membawa masuk produk pertanian tanpa permit import yang sah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!