Keluarga terkejut Nurul Ashikin hamil anak kembar

Gambar kenangan Allahyarham Nurul Ashikin bersama suaminya yang terlibat dalam kemalangan pagi tadi.
Gambar kenangan Allahyarham Nurul Ashikin bersama suaminya yang terlibat dalam kemalangan pagi tadi.
A
A
A

BACHOK - Keluarga kepada anggota polis yang maut bersama isteri dalam kemalangan di Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur hari ini terkejut dan sedih apabila mengetahui Nurul Ashikin Kamaruddin sedang hamil anak kembar.

Nur Azmawati Shamsuddin, kakak kepada Lans Koperal Muhammad Syakiran berkata, berita mengejutkan itu diketahui berdasarkan bedah siasat jam 1 petang tadi.

Menurutnya, perkara tersebut dimaklumkan adik-beradiknya yang berada di Kuala Lumpur dan turut menemui buku pemeriksaan kandungan di dalam beg Nurul Ashikin.

“Kami memang terkejut sebab mereka belum memaklumkan lagi kepada keluarga tentang kehamilan anak kedua yang juga kembar kali ini.

“Kami sangat sedih apatah lagi saya dimaklumkan kandungan sudah hampir berusia dua bulan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Pasangan terbabit meninggalkan seorang anak lelaki, Muhammad Arfan Ziqri, berusia 1 tahun 10 bulan.

Dalam kejadian jam 8 pagi tadi, kedua-dua mereka maut selepas motosikal yang dinaiki terlibat kemalangan jalan raya dengan sebuah lori di Jalan Syed Putra, menghala ke pusat bandar.

Muhammad Shakiran, 30, anggota polis bertugas di Balai Polis Seksyen 6 Shah Alam yang cedera di perut meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya manakala isterinya cedera di kepala maut di tempat kejadian.

Artikel Berkaitan:

Bercerita lanjut, Nur Azmawati berkata, Allahyarham adiknya, Muhammad Syakiran juga mempunyai kembar sama jantina bernama, Muhammad Syakirin, yang tinggal di kampung dan sudah berkahwin.

Menambah kesedihan katanya, apabila ahli keluarganya baru sahaja berkumpul di kuarters polis memandangkan adik bongsu mereka, Muhammad Nazrul,19, berada di Kuala Lumpur untuk bersiar-siar di sana.

“Arwah adik dan isteri baru sahaja menghantar Nazrul menaiki bas malam tadi dan Nazrul tiba di Kelantan pada jam 7 pagi tadi.

“Tidak berapa lama selepas itu kami di kampung menerima berita mereka berdua maut dalam kemalangan,” katanya.

Kakak mangsa menjangkakan jenazah mereka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Repek Hilir, Bachok selepas Isyak nanti.

ARTIKEL BERKAITAN: Anggota polis, isteri maut kemalangan

Ketua Polis Negara zahir ucapan takziah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!