Henti bakar api perkauman

 Abd Rahman (depan, lima kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Sabak Bernam, pagi tadi.
Abd Rahman (depan, lima kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Sabak Bernam, pagi tadi.
A
A
A


SABAK BERNAM - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad didesak menghentikan segala cubaan yang boleh membakar api kemarahan rakyat dengan menyentuh beberapa isu sensitif sekali gus merosakkan perpaduan negara.

Ketua Umno Bahagian Sabak Bernam, Datuk Abd Rahman Bakri berkata, kenyataan kontroversi mengenai cadangan mengiktiraf Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) bukan sahaja mengguris hati kaum Melayu tetapi turut mencabuli Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

"Perdana Menteri perlu mengambil tindakan sewajarnya sama ada meminta menteri bertanggungjawab meletak jawatan atau dilucutkan jawatannya dan diganti dengan menteri yang lebih memahami budaya, adat resam serta Perlembagaan negara," katanya.

Terdahulu Umno Bahagian Sabak Bernam membuat laporan polis terhadap kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy di Balai Polis Sabak Bernam.

Sebanyak empat laporan polis dibuat termasuk dalam kalangan sayap pemuda dan puteri Umno bahagian itu kira-kira jam 10.30 pagi tadi. Abd Rahman menegaskan, kerajaan terdahulu yang memerintah negara sejak kemerdekaan tidak pernah menindas mana-mana kaum di negara ini.

"Sehingga sekarang, tak ada pun mana-mana kaum ditindas, malah Perlembagaan negara menekankan bahawa setiap kaum yang ada di negara dijaga dan dipelihara. "Malah, kita juga lihat ramai kaum selain Melayu, menjadi doktor, peguam dan menteri kerana kita menginginkan sebuah negara yang aman dan harmoni selain menjadi contoh negara Islam di dunia ini," katanya.

Katanya, kerajaan PH seharusnya memberi tumpuan membina negara yang lebih cemerlang, berbanding menyentuh isu kontroversi dan menyalahkan kerajaan terdahulu. "Berilah penumpuan terhadap isu negara yang lebih besar seperti penurunan mata wang negara, kejatuhan harga komoditi seperti sawit dan kelapa, isu kenaikan harga barang serta GST (cukai barangan dan perkhidmatan).

"Kita harap menteri bukan Melayu, malah yang beragama Islam sendiri, janganlah membuat provokasi dan menimbulkan isu yang mencetuskan ketegangan kaum," katanya.
Artikel Berkaitan:


Tegas beliau, kaum Melayu yang merupakan penduduk majoriti pastinya bangkit menentang segala bentuk ancaman terhadap hak yang termaktub dalam Perlembagaan. Abd Rahman memberitahu, Umno bahagian itu merancang mengadakan kerjasama dengan Pas Kawasan Sabak Bernam bagi menghimpunkan rakyat untuk bersama-sama menyertai Himpunan Perpaduan Ummah bagi membantah ICERD di ibu negara pada 8 Disember depan.

"Kita pun belum berbincang lanjut dan berharap satu penyatuan dapat diambil dalam masa terdekat. Kita akan hantar seberapa ramai yang termampu untuk bersama dalam perhimpunan terbesar ini," katanya.

Katanya, perhimpunan sebelum ini di Pasir Salak antara Umno, Pas dan NGO memberi gambaran perpaduan parti Melayu dan Islam begitu kuat dan jitu.

"Kita berharap persefahaman dan perpaduan ini dapat dikekalkan sehingga mampu mendapat kejayaan cemerlang pada PRU15," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!