Keberkatan ilmu
RAMAI umat Islam di Malaysia suka berdoa. Banyak majlis rasmi tempatan atau negara yang dihadiri rakyat berbilang kaum dimulakan dengan doa memohon petunjuk daripada ALLAH SWT.
“Ya Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang kami memohon hidayah dan barakah-Mu dalam usaha kami ini untuk mencari ilmu dan berkhidmat kepada insan sejagat tanpa mengira bangsa atau kepercayaan.”
Demikian doa saya setiap kali memulakan sesi pengajaran di Universiti Cyberjaya (dulunya Cyberjaya University College of Medical Sciences atau ringkasnya, CUCMS). Ini saya lakukan sejak kumpulan pertama pelajar CUCMS yang memasuki universiti itu pada hari-hari akhir Disember 2005 dan memulakan sesi pertama pengajian ilmu Anatomi pada 3 Januari 2006. Mereka terdiri daripada 14 pelajar Farmasi dan 71 pelajar Perubatan pelbagai kaum dari Malaysia. Kini para pelajar Universiti Cyberjaya terdiri daripada pelbagai warga negara dari dalam dan luar negara di banyak pusat dan fakultinya.
Sejak hari itu, doa ini diaminkan oleh pelajar-pelajar Islam dan dihormati oleh rakan-rakan mereka daripada agama atau kepercayaan lain. Sebelum berdoa, saya memesan bahawa kita mestilah memberi fokus sepenuhnya sewaktu kita berdoa yang hanya mengambil masa beberapa saat saja. Lebih baik doa yang ringkas dalam keadaan khusyuk diberkati ALLAH SWT, daripada doa yang berjela-jela panjangnya tapi dilakukan secara sambil lewa tanpa kekhusyukan dan tidak diberkati-Nya.
Saya mengarahkan para pelajar Muslim supaya menadah tangan seperti yang diajar oleh Rasulullah SAW dan pelajar bukan Muslim berdoa dengan cara yang mereka rasa selesa. Di samping semua mereka diarahkan untuk berada dalam keadaan khusyuk, mereka diarahkan juga supaya jangan memegang apa-apa (seperti telefon pintar yang menjadi alat penagihan zaman pascamoden ini) dalam tangan mereka.
Mereka mesti juga meletakkan kedua-dua kaki di atas lantai. Sementara emosi (perasaan) dan kognisi (pemahaman atau pemikiran) menjalani disiplin untuk memberi fokus kepada doa, jasad pun mestilah melalui disiplin yang rapi juga. Doa ialah satu usaha jasad, psikologi, kerohanian dan kemasyarakatan.
Sejak kumpulan pertama yang memasuki universiti ini sejak tahun 2005, sudah 15 kumpulan berturut-turut yang berdoa bersama-sama saya hingga kini. Ia diulangi berkali-kali hampir setiap kali saya mengajar mereka Sains Tingkah Laku (Behavioural Sciences) di Tahun Pertama, Psikiatri Teori dan Klinikal di tahun keempat dan juga tajuk lain pada tahun-tahun lain.
Ini juga yang saya cuba amalkan sewaktu mengajar pelatih pascasiswazah psikiatri di universiti lain dan sewaktu menyampaikan ceramah umum kepada masyarakat. Beberapa orang yang telah mengikuti doa ini telah meminta frasa-frasa doa itu daripada saya. Ini termasuk seorang bekas pelajar Kristian kami yang kini sudah menjadi seorang pegawai perubatan di sebuah hospital di Sarawak. Beliau telah (melalui pesanan Facebook) meminta saya supaya mengirim doa itu kepadanya.
Berdoa kepada Tuhan, sayangkan anak murid serta menghormati guru adalah tiga syarat untuk ilmu yang ditimba menerima keberkatan ALLAH Maha Mengetahui (al-‘Alim). Dalam dunia, maklumat mengalir serta ilmu dicari pada setiap saat. Untuk maklumat berpindah daripada tahap rendah kepada tahap maklumat yang berguna untuk insan, barakah ALLAH SWT diperlukan. Untuk ilmu bercambah dan menyuburkan tamadun insan, barakah ALLAH SWT juga diperlukan.
Guru dan murid yang berdoa kepada Tuhan bersifat tawaduk sewaktu melangkah ke alam pencarian ilmu. Mereka sedar bahawa tanpa keizinan Tuhan, ilmu tidak boleh tumbuh mekar di jiwa. Bila ilmu tidak hidup melata, maka ilmu baru tidak boleh juga dicipta oleh manusia, kerana barakah tidak diterima daripada ALLAH Maha Pencipta (al-Khaliq).
Perlu ditegaskan bahawa sayangnya guru kepada murid juga bermakna mesti wujud suasana tough love atau kasih yang tegas. Secara ringkasnya kita boleh nyatakan bahawa kasih sayang adalah bagus tapi mestilah bersifat tegas. Love’s Good But Tough (LGBT). Murid yang dimanja-manjakan tidak akan berjaya. Murid yang berada dalam kasih yang tegas gurunya akan menghormati guru. Guru juga mestilah menghormati prinsip hidup muridnya yang sudah matang.
Sekali pun murid tidak setuju dengan gurunya, si murid mestilah menunjukkan adab yang tinggi terhadap sang guru. Jika si murid tidak bersetuju dengan pegangan politik gurunya, sikap yang beradab boleh dizahirkan juga oleh si murid, tanpa melenyapkan prinsip politik yang dipeganginya.
Jika adab ini dihayati, tiada murid akan memekik-mekik sewaktu mana-mana majlis konvokesyen yang serius dan berdarjat. Dan tiada graduan yang menagih perhatian yang akan mengutuk bekas gurunya di depan khalayak ramai.
Tanpa keizinan Tuhan, ilmu tidak boleh tumbuh mekar di jiwa.
* Prof Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!