Cuba lagi setelah peluang kedua
PELUANG kedua. Frasa itu lazimnya membawa konotasi bahawa peluang kedua yang diberikan itu adalah peluang yang terakhir. Maknanya, apabila peluang pertama tidak mendatangkan hasil yang baik, maka peluang kedua diambil dengan niat. Kalau peluang yang kedua itu pun tidak mendatangkan natijah yang baik, lebih elok berhenti mencuba lagi.
Peluang kedua mengambil peperiksaan, peluang kedua yang isteri beri kepada suami agar tak curang lagi atau peluang kedua mencuba sesuatu bidang baharu akan dianggap gagal secara mutlak sekiranya peluang yang kedua itu tidak berjaya mendatangkan hasil yang diharapkan.
Namun, jika direnung semula, apakah kegagalan dalam peluang kedua, itulah pengakhiran? Maka, jangan harap peluang ketiga atau keempat akan mengubah kegagalan menjadi kejayaan.
Nanti dahulu. Kita bukan sahaja tidak boleh serik dalam mencuba, kita juga jangan serik memberi orang lain mencuba dan mencuba lagi. Tamsilannya, seandainya kita sebagai hamba-NYA melakukan kesilapan buat kali pertama lalu meminta ampun, kemudian buat kesilapan kedua lalu meminta ampun lagi, maka tidak ada istighfar dan taubat setelah kesilapan kedua sekiranya ALLAH hanya memberi dua peluang sahaja untuk memohon ampun!
Maknanya, sekiranya kita tidak malu memohon ampun setelah melakukan kesilapan entah ke berapa kali kerana mengharap kesilapan itu akan diampunkan ALLAH Yang Maha Pengampun, maka kita sepatutnya berlapang dada untuk beri peluang ketiga dan seterusnya kepada sesiapa sahaja yang ingin mencuba lagi.
Ini kerana bukan semua insan dapat mengubah daripada gagal kepada berjaya hanya setelah mencuba sekali lagi. Jika kita renungkan, kita sendiri menggunakan peluang lebih daripada dua kali dalam pelbagai situasi untuk menangani sesuatu yang gagal hingga berjaya. Lupakan pada kepercayaan bahawa peluang ada dua kali sahaja.
Menangani sesuatu perkara itu bukannya ada satu cara sahaja. Maksudnya, apabila kita gagal melakukan sesuatu kali pertama, kedua mahupun ketiga dan akhirnya berjaya pada kali keempat, ia tidak bermakna hanya ada satu cara sahaja untuk berjaya iaitu dengan melakukan sesuatu dengan pendekatan yang keempat. Barangkali, cara kelima dan keenam pun boleh berjaya dan cara ketujuh hingga ke-10 menghasilkan kegagalan.
Ertinya, jika untuk gagal ada lebih daripada satu cara, untuk berjaya juga mempunyai lebih satu cara. Kita kena lihat usaha untuk berjaya dalam sesuatu perkara itu bermakna usaha mencuba hingga berjaya. Jika tidak berjaya mendapat hasil yang diingini, kita berjaya mendapat pengalaman dan kesabaran. Itu adalah kesan sampingan dalam mencuba. Sementara itu, berhenti mencuba pula menjamin kegagalan.
Kadangkala kejayaan atau kegagalan dalam mencuba itu bukan semata-mata kerana pendekatan cara menyelesaikan masalah tetapi faktor masa yang boleh mengubah hasil cubaan itu.
Contohnya bubble wrap iaitu bungkusan plastik yang berbiji-biji yang biasa kita temui jika kita menerima bungkusan pos. Bubble wrap diperkenalkan pada 1960. Ia gagal menarik hati industri sehinggalah ia digunapakai oleh IBM untuk membungkus komputer.
Dengan pendekatan cara, Netflix, sebuah perkhidmatan hiburan filem secara atas talian yang memulakan operasi pada 1997 hanya membekalkan DVD secara atas talian tidak berjaya memikat hati pengguna kerana hanya memperoleh ratusan ribu pelanggan. Ia mencuba lagi dengan pendekatan berbeza iaitu memberi perkhidmatan hiburan streaming. Kemudian ia menghasilkan filem dan siri yang tersendiri. Hari ini sebanyak 190 buah negara mempunyai rangkaian siarannya.
Dunia hari ini adalah dunia yang tidak menentu. Terlalu banyak faktor yang menentukan pada keputusan yang kita ambil dan risiko yang bakal menjelma kesan daripada keputusan kita itu.
Terlalu banyak faktor yang boleh menggagal atau menjayakan apa yang kita lakukan. Justeru, konsep peluang kedua dalam menangani sesuatu sudah tidak relevan lagi. Barangkali, kita kena beri peluang ke-1,000 dalam mencuba seperti Thomas Elva Edison yang membuat lebih 1,000 percubaan untuk menyalakan lampu elektrik. Barangkali juga, Thomas Elva Edison adalah insan yang telah mendahului zamannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!