Layanan jururawat sudah bagus, namun kemudahan menyedihkan
BARU-BARU ini Merak Jalanan berkunjung ke sebuah klinik kesihatan di Lembah Klang. Sebenarnya, kalau diikutkan hati, Merak Jalanan memang tidak kuasa.
Bukan apa, terlalu banyak cerita tidak enak kedengaran menjengah telinga sejak berdekad lamanya. Antara yang paling mengerikan ialah bagaimana perilaku jururawat yang garang.
Dalam bab mendapatkan rawatan, bagi Merak Jalanan, hal menunggu lama untuk berjumpa doktor, bukan satu masalah besar kerana di hospital swasta pun, sedikit lebih kurang sama sahaja. Karakter manusia melayani manusia lain itu lebih menyakitkan hati sebenarnya.
Ciri-ciri ‘mengerikan’ itu menyebabkan Merak Jalanan mencari jalan untuk mengelak daripada mendapatkan rawatan di pusat kesihatan kerajaan.
Pun demikian, pada hari berkenaan, takdir menjadi sebaliknya. Stigma Merak Jalanan berubah sama sekali dengan jururawat di klinik kesihatan itu. Tiada layanan kasar seperti dimomokkan. Tiada kata-kata hamburan nista diucapkan dan tiada sikap sambil lewa dalam melayani pesakit.
Merak Jalanan juga sempat terdengar bagaimana seorang tua tergelak besar di sebelah bilik doktor. Nampaknya, memang ada aura yang sangat menyenangkan di klinik kesihatan di situ.
Barangkali transisi zaman dan teguran membina yang dilontarkan membuatkan petugas kesihatan berikrar menjalankan servis dengan lebih baik untuk masyarakat.
Namun, Merak Jalanan memohon kepada Kementerian Kesihatan untuk membantu memperbaiki infrastruktur di beberapa klinik kesihatan di negara ini seperti tempat duduk, pendingin hawa, tandas dan barangkali jumlah petugas kesihatan.
Jika petugas kesihatan sudah menunjukkan impak yang baik, nescaya peralihan dari segi kemudahan akan mendorong mereka berkhidmat dengan lebih cemerlang lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!