Adegan basikal lajak

No Image Caption
A
A
A

MAHKAMAH Majistret Johor Bahru memutuskan seorang jurujual wanita yang berdepan tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal dua tahun lalu dilepas dan dibebaskan.

Keputusan itu mungkin pedih untuk diterima terutama buat keluarga si mangsa, namun hakikatnya yang sudah pergi tidak akan kembali lagi.

Namun ketika ini bukan masanya untuk kita menuding jari dan terus menghakimi. Bukan keputusan mahkamah yang perlu jadi topik pokok untuk dibincang, sebaliknya topik paling penting adalah bagaimana cara menangani isu basikal lajak yang kini dilihat semakin menjadi-jadi.

Janganlah dipolemikkan terus insiden yang berlaku dan ia juga bukanlah cerita perkauman hanya kerana si dituduh berbangsa Cina dan mangsa pula berbangsa Melayu.

Sebaliknya nilailah isi keseluruhan keputusan mahkamah, bukan mentafsir secara melulu.

Paling pasti soal bangsa dan agama langsung tidak ada kena-mengena dengan insiden yang terjadi. Ia juga bukan soal parti mana.

Itu juga mesej yang disampaikan oleh peguam, Syahredzan Johan dalam hantaran Facebooknya yang meminta masyarakat supaya meneliti keputusan mahkamah.

Katanya, keputusan mahkamah dibuat berdasarkan keterangan dan bukti semasa perbicaraan.

Artikel Berkaitan:

“Jangan samakan orang yang memandu dalam keadaan mabuk atau memandu lawan arus, dengan orang yang bawa kereta dengan betul.

“Ya, apa yang berlaku adalah tragedi. Lapan orang remaja hilang nyawa.Tetapi seseorang itu hanya bersalah kalau dia melakukan kesalahan. Kalau semasa perbicaraan dia tidak dibuktikan melakukan kesalahan, dia patut dilepaskan daripada tuduhan.

“Bukan semua kemalangan disebabkan ada orang melakukan jenayah,” katanya.

Hakikat yang masyarakat perlu sedar hari ini bahawa isu basikal lajak kini sudah menjadi isu nasional yang perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak terutama kerajaan.

Kementerian atau agensi berkaitan perlu meneliti isu ini. Gejala ini perlu dibendung.

Tidak tahu bagaimana basikal lajak ini bermula sehingga menjadi kegilaan anak-anak, tapi soalnya tidak bolehkah basikal itu tidak ‘dilajakkan’?

Rasanya ramai yang ada pengalaman berdepan dengan geng lajak di jalanan dan nyata bahaya itu dicipta mereka sendiri. Senang kata memang mereka sengaja cari nahas. Kita pula yang jadi risau sedangkan mereka langsung tak hirau.

Sebab itu penting untuk ibu bapa tanpa ada alasan bertegas mengawal pergerakan dan aktiviti anak-anak supaya tidak terjebak dengan aktiviti terbabit yang sebenarnya boleh mengancam nyawa sendiri. Perlu ambil tahu keberadaan anak-anak, jangan ambil mudah.

Jika berlaku sebarang permasalahan yang ditimbulkan oleh anak-anak terutama di bawah umur, kesannya ditanggung oleh ibu bapa juga

Walaupun mereka tidak benarkan apatah menggalakkan anak-anak bermain basikal lajak, tapi jika timbul masalah mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perlindungan Kanak-Kanak 2001.

Rasanya perlu akta itu dikuatkuasakan atau dengan erti kata lain jangan tunggu lagi untuk ia dikuatkuasakan secara menyeluruh.

Memang berbasikal itu tidak salah tapi yang salahnya bila menunggangnya secara berbahaya yang turut mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

Soalnya kenapa basikal lajak itu boleh dijual di pasaran? Tidakkah ia seperti menggalakkan lagi aktiviti itu. Turut dijual alat ganti dan aksesorinya lagi.

Tidak hairanlah jika ada yang sanggup menggunakan wang saku harian diberi ibu bapa untuk mengubah suai basikal lajak mereka demi kepuasan ketika beraksi.

Insiden berdarah melibatkan lapan remaja berbasikal lajak yang berlaku nampaknya langsung tidak memberi iktibar. Rasanya tidak keterlaluan jika disebut mereka memang tak sayang nyawa.

Sempena cuti persekolahan tidak lama lagi, eloklah tengok anak-anak kita supaya kejadian sama tidak berulang lagi. Seperti pepatah, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Tapi terlajak membawa basikal lajak lagi buruk akibatnya.

Seperti titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar kepada keluarga dan waris remaja berbasikal yang maut dua tahun lalu, yang meminta ibu bapa supaya memantau pergerakan aktiviti anak-anak mereka serta tidak membenarkan mereka keluar bersendirian pada waktu malam.

Baginda turut bertitah kepada ibu bapa supaya melarang anak-anak bermain di kawasan bahaya bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

“Yang pergi tidak akan kembali, biarkan pergi, ini juga adalah pengajaran kepada ibu bapa untuk tidak membenarkan anak-anak mereka keluar pada waktu malam.

“Biar dia yang menangis, jangan kita menangis. Saya pun ada anak dan dah pergi tak kembali. Kalau saya sedih awak sebagai ibu dan bapa kepada mangsa mesti lebih sedih. Ingat pesanan saya,” titah baginda.

* Syamilah Zulkifli ialah Wartawan Sinar Harian Edisi Melaka dan Negeri Sembilan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!