Gagal siap reka bentuk terperinci punca 6 kapal TLDM lewat diterima
KUALA LUMPUR - Kegagalan pihak kontraktor menyiapkan reka bentuk terperinci mengikut tempoh dan kelewatan memuktamadkan perolehan sebahagian besar peralatan di bawah tanggungjawab mereka menjadi antara punca kelewatan penerimaan enam kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) jenis kapal tempur pesisir pantai (LCS).
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, selain itu keadaan kualiti kerja yang tidak memuaskan, tidak mengikut spesifikasi sehingga berlaku kerja berulang, dan kerja-kerja tertangguh yang tinggi juga menjadi penyebab aset TLDM yang sepatutnya mula diterima April lepas tidak diterima sehingga kini.
Mohamad berkata, kementerian itu bagaimanapun tidak boleh menghentikan pembelian kerana telah membayar kos sebanyak RM6 bilion.
“Kami akan berusaha untuk memastikan ia dapat siap mengikut jadual yang telah diberi pihak kontraktor. Sepatutnya kapal yang pertama dijangka siap pada April tahun ini, tetapi dimaklumkan ia hanya akan siap pada Februari 2022,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, hal itu juga akan menyebabkan berlaku kelewatan penerimaan terhadap lima kapal yang lain.
Sementara itu, menyentuh tentang pemberhentian operasi mencari dua anggota tentera darat dari Sarawak yang hilang ketika bertugas di Pulau Perak, Kedah Julai lepas, Mohamad berkata, aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa melaksanakan pemantauan di kawasan itu bagi mendapatkan petunjuk baharu.
“Mereka (ATM) masih belum peroleh (petunjuk), bagaimanapun mereka terus berusaha dari semasa ke semasa sehinggalah disahkan betul-betul (meninggal dunia), itupun mengambil masa tujuh tahun untuk mahkamah mengisytiharkannya. Semasa tujuh tahun itu segala faedah anggota tentera akan diperolehi warisnya. Ini yang dibuat setakat ini oleh ATM,” katanya.
Persidangan Dewan disambung esok. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!