Jenazah anggota polis dan isteri dikebumi satu liang lahad

A
A
A

BACHOK - Jenazah anggota polis dan isterinya yang maut dalam kemalangan di Kuala Lumpur pagi semalam selamat dikebumikan di dalam satu liang lahad jam 2.20 pagi di sini.

Jenazah Lans Koperal Muhammad Syakiran, 30 dan pasangannya, Nurul Ashikin Kamaruddin, 27, yang sedang hamil anak kembar berusia hampir dua bulan itu dikebumikan bersama-sama di Tanah Perkuburan Kampung Rekang Hilir.

Afizi, 38, abang kepada arwah Muhammad Syakiran, berkata berdasarkan perbincangan bersama ahli keluarga, masing-masing bersetuju supaya jenazah Nurul Ashikin berasal dari Kadok, Kota Bharu itu disemadikan di kampung arwah suaminya.

“Masing-masing berbincang dan setuju Nurul Ashikin tidak dipisahkan dengan dikebumikan bersama dengan suaminya di Bachok,” katanya ditemui di sini malam tadi.

Terdahulu jenazah kedua-dua mereka yang tiba pada jam 1.01 pagi dengan dua van jenazah dari Kuala Lumpur itu disembahyangkan di rumah arwah Muhammad Syarikan di Kampung Repek.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superientendan Nik Aminuddin Raja Abdullah turut menyambut ketibaan jenazah.

Lebih 200 sanak saudara dan sahabat handai turut menyaksikan proses pengebumian yang selesai sepenuhnya pada jam 3.10 pagi dalam keadaan cuaca baik.

Menyedihkan juga apabila anak lelakinya, Muhammad Arfan Ziqri, berusia 1 tahun 10 bulan itu menjadi yatim piatu dalam sekelip mata dan difahamkan akan dijaga oleh keluarga isteri arwah.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian jam 8 pagi semalam, kedua-dua mereka maut selepas motosikal yang dinaiki terlibat kemalangan jalan raya dengan sebuah lori di Jalan Syed Putra, menghala ke pusat bandar.

Muhammad Shakiran, anggota polis bertugas di Balai Polis Seksyen 6 Shah Alam yang cedera di perut meninggal di Pusat Perubatan Universiti Malaya manakala isterinya cedera di kepala, maut di tempat kejadian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!