Ratu Elizabeth guna enam daripada 775 bilik di Istana Buckingham
LONDON - Ratu Elizabeth hanya menggunakan enam daripada 775 bilik yang terdapat di Istana Buckingham, menurut sumber yang turut menyifatkan Ratu Britain itu sebagai seorang yang sangat sederhana.
Tukang jahit Ratu Elizabeth, Angela Kelly berkata, Ketua Negara United Kingdom (UK) itu lebih gemar menggunakan sebilangan kecil bilik di istana tersebut dalam kehidupan sehariannya.
Antara bilik yang sering digunakan adalah bilik tidur, bilik persendirian, bilik persalinan, bilik air, Audience Room yang digunakan ketika bertemu Perdana Menteri dan kenamaan lain serta Empire Room iaitu bilik menunggu.
Kelly menerusi tulisannya dalam buku berjudul The Other Side of the Coin: The Queen, the Dresser and the Wardrobe memberitahu, kesemua bilik tersebut tidak luas dan hanya mempunyai ruang yang mencukupi untuk perabot seperti almari serta laci.
"Individu dikenali yang saya pernah lihat masuk ke dalam bilik itu adalah The Duke of Edinburgh iaitu Putera Philip yang merupakan suami Ratu Elizabeth dan anggota keluarga diraja yang lain.
"Privasi Ratu adalah keutamaan mutlak dalam kalangan kakitangan istana," katanya.
Istana Buckingham berfungsi sebagai kediaman utama Ratu Elizabeth meskipun baginda biasanya tinggal di Balmoral dari Julai hingga September lalu.
Sementara itu, menurut seorang penulis buku tentang Keluarga Diraja, Adam Helliker, Ratu Britain juga menggunakan semula cadar lama untuk digunakan di Istana Balmoral di Scotland.
"Dalam dunia materialistik hari ini, sangat tersentuh apabila dapat tahu baginda tidak suka membazir. Baginda juga menggunakan sarung tilam yang diselamatkan dari bekas Royal Yacht Britannia apabila kapal itu ditamatkan perkhidmatannya pada tahun 1997," katanya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!