City tak rakus baham Southampton
MANCHESTER City tidak menghadapi masalah untuk mengesahkan tempat ke saingan suku akhir Piala Liga Inggeris selepas menewaskan Southampton 3-1 awal pagi tadi.
Pengendali City, Pep Guardiola menyifatkan pemain yang diturunkan bermain dengan baik walaupun melakukan sembilan pertukaran ke atas skuad yang menewaskan Aston Villa dalam saingan Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu.
Malah, dalam aksi di Etihad itu peminat City turut melaungkan mahu 10 gol ke atas Southampton merujuk kepada kekalahan 0-9 Southampton kepada Leicester City pada Jumaat lalu.
Bagaimanapun, City yang juga penyandang juara Piala Liga Inggeris tidak rakus untuk menjaringkan gol yang banyak walaupun mudah menguasai perlawanan tersebut dengan 77 peratus penguasaan bola dan 19 percubaan ke gawang Southampton.
"Kami bermain serius dengan kualiti hantaran yang berkualiti tinggi. Semua pemain berfungsi dengan baik terutama pemain di jentera serangan yang berjaya memecahkan tembok pertahanan lawan.
"Untuk layak ke suku akhir adalah perkara yang bagus untuk kami kerana kami mahu mempertahankan piala ini. Semua pemain terutama pemain simpanan beraksi dengan cemerlang walaupun ada yang baru pertama kali diturunkan.
"Ia menunjukkan kualiti pemain yang dimiliki City dan ia petanda yang bagus untuk terus mara dalam kejohanan ini," katanya.
Dalam perlawanan itu, Nicolas Otamendi membuka jaringan buat City pada minit ke-20 sebelum Sergio Aguero menambah dua gol pada minit ke-38 dan ke-56 untuk melengkapkan kemenangan The Citizens.
Gol saguhati The Saints dijaringkan Jack Stephens pada minit ke-75.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!