Insan, Permaisuri Agong dan rakyat: Satu coretan

-Foto Facebook DrMAZA.com
-Foto Facebook DrMAZA.com
A
A
A

INSAN.. Apabila kita memuji seseorang, kita memuji apa yang zahir yang kita tahu. Adapun apa yang tidak diketahui, ia terserah kepada ALLAH. Setiap kita mempunyai kehidupan yang zahir pada mata manusia dan yang tidak zahir. Manusia mengetahui yang zahir, sementara ALLAH mengetahui yang zahir dan batin. Berbahagialah hamba-hamba ALLAH yang kedudukannya di sisi ALLAH lebih baik dari kedudukannya yang baik di sisi manusia.

Kemudian, setiap insan mempunyai kelemahan dan keaiban dirinya. Hanya dengan rahmat ALLAH, DIA menutupi kecacatan dan keaiban kita sehingga kita dapat hidup dalam kalangan manusia dengan penuh penghormatan. Jika ALLAH itu tidak menutup keaiban setiap kita, pasti tiada yang selamat dan tiada siapa yang sanggup untuk kehadapan. Di situlah kita fahami maksud nama ALLAH: al-GHAFFAR dan al-GHUFFUR yang mengandungi makna memadam dan menutupi dosa. Demikian juga nama ALLAH al-SITTIR (الستير) yang mempunyai maksud sangat menutupi dosa.

Justeru, kita sebagai hamba-hamba ALLAH yang mengetahui sifat-sifat dan rahmat ALLAH tersebut, dilarang kita mencari dosa-dosa peribadi yang tersembunyi dalam kehidupan seseorang. Itu bukan tugasan kita. Jangan kita mengambil kerja-kerja malaikat yang bertugas mencatatkan amalan baik dan buruk yang zahir dan dan tersembunyi. Jika orang lain menelusuri kehidupan kita yang zahir dan yang tersembunyi, pasti kita juga akan merasa malu.

Hanya yang boleh disiasat dan dicari ialah dosa yang membabitkan kepentingan awam atau yang menggugat keselamatan atau harta orang lain. Itupun, hanya terbatas kepada pihak yang mempunyai kaitan dengan hal-hal tersebut.

Maka, kita disuruh menilai manusia apa yang zahir kita ketahui. Andainya kita memuji seseorang yang pada zahirnya baik di sisi pengetahuan kita, namun hakikat tidak demikian, itu bukanlah satu dosa. Ini kerana, kita menilai apa zahir pada pengetahuan kita. Kita tidak mengetahui yang ghaib. Untuk itu, sebagai beralas dalam bicara, Nabi s.a.w menasihati kita:

“Sesiapa dalam kalangan kamu yang terpaksa memuji saudaranya, maka hendaklah dia berkata: ‘aku menilainya demikian, Allah jua yang menjadi penilai yang sebenar (mengetahui hakikat sebenar), aku tidak akan memuji sesiapa atas nama Allah (tidak akan mendahului ALLAH)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam kalangan salafussoleh, terdapat mereka mengungkapkan doa seperti ini apabila dipuji:

“Ya ALLAH! Jangan Dikau mengambil tindakan keatasku dengan kerana apa yang mereka kata. Ampunilah daku (tentang) apa yang mereka tidak mengetahui (tentang diriku). Jadilkanlah daku ini lebih baik dari apa yang mereka sangka”. (Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad, al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman).

Artikel Berkaitan:

Demikianlah apabila jiwa seseorang itu begitu merasai kehambaanNYA di hadapan tuhannya dan menginsafi hakikat dirinya yang mempunyai kelamahan dan dosa.

Mukadimah di atas saya sebut sebagai panduan bagi coretan yang seterusnya.

Permaisuri Agong..

Permaisuri Agong kita sekarang KDYMM Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj telah berjaya menempatkan nama yang baik di sisi rakyat pada waktu ini. Banyak pujian yang diluahkan oleh rakyat jelata di dalam media sosial dan perbualan antara mereka. Alhamdulillah.

Pada pandangan saya apa yang menempatkan baginda Permaisuri Agong sekarang bukan kedudukan atau apa yang dimiliki dari kekayaan dan kebolehan, tetapi sikap dan budi yang disukai oleh rakyat jelata. Rakyat tidak akan bahagia jiwanya dengan melihat seorang raja atau pembesar menayangkan kemewahan dan ‘keegoannya’. Namun rakyat amat bahagia dan gembira apabila melihat seorang yang berkedudukan seperti Raja, Permaisuri, orang-orang besar Istana, menteri-menteri dan isteri dan seumpamanya memperlihatkan kesantunan yang tinggi, budi yang baik dan cara yang menzahirkan kehalusan nilai kemanusian dan keprihatinan dalam diri seseorang pemimpin dan isteri pemimpin.

Dalam forum di DBP, Kuala Lumpur pada 24hb Oktober baru-baru ini bertajuk ‘Sistem Beraja: Antara Realiti dengan Harapan’, saya menyebut tentang nilai-nilai yang baik yang ditonjolkan oleh Tuanku Permaisuri Agong sekarang yang berjaya memikat hati rakyat. Saya beri contoh kecil apa yang viral tentang borang kehadiran yang diisi oleh Tuanku Hajah Azizah dengan menulis bahagian jawatan ‘suri rumah’. Hal itu walaupun kecil, amat disenangi oleh rakyat pada zaman kita mencari-cari ketinggian budi dan kerendahan jiwa orang-orang besar.

Saya secara tidak mempunyai hubungan yang rapat dengan baginda. Cumanya beberapa tahun dahulu ketika baginda masih bergelar Tengku Ampuan Pahang, saya ada dihubungi untuk suatu perkara. Berdasarkan perkara yang saya dihubungi itu, ketika itu saya merasai bahawa nilai kemanusiaan baginda tinggi. Semenjak itu, saya kadang-kala berhubung melalui pesanan ringkas atau WA. Kali pertama saya berjumpa secara langsung dengan baginda ialah di Universiti Islam Malaysia, Cyberjaya. Saya masih ingat sapaan awal beliau kepada saya: “Dr MAZA pun ada”. Selepas itu baginda berbual sekejap dengan saya.

Semenjak baginda menjadi Permaisuri Agong, saya tidak pernah mengadap kecuali pada Isnin lepas (28 Oktober 2019) mengiringi DYMM Tuanku Raja Perlis mewasalkan Darjah Kerabat (DK) kepada KDYMM SPB Yang Pertua Agong. Maka berkesempatan saya mengadap baginda sekali lagi. Semasa di meja santapan, Setiausaha KDYMM memberitahu saya: “Tuanku Permaisuri titah supaya Dato duduk di sini supaya dekat nak berbual”. Saya amat hargai.

Semasa perbualan, di samping keramahan Tuanku Azizah menceritakan tentang resepi masakan, kesenian, baginda menceritakan kepada DYMM Raja Perlis dan DYMM Raja Perempuan Perlis bagaimana kain yang sama boleh diboleh lima helai baju. Titahnya: “Bukan orang perasan kita pakai kain yang sama. Kita padan dengan warna lain. Dapat kita jimat”. Saya tersenyum mendengar ulasan itu. Sejauh mana hal itu berlaku, tidaklah saya pasti. Namun, bicara yang seperti itu jauh lebih disukai oleh telinga rakyat dari cerita beg-beg tangan mewah, perhiasan mewah dan pakaian mewah wanita-wanita pembesar. Cerita kemewahan isteri pembesar telah memusnahkan kedudukan ramai suami dalam dunia ini. Sementara cerita cara hidup wanita pembesar yang seirama dengan rakyat menyuburkan kasih rakyat untuk diri mereka dan juga suami mereka.

Rakyat...

Rakyat dalam negara ini keletihan dengan kisah-kisah orang atasan. Kisah kesombongan, kisah kerakusan, kisah kedangkalan, kisah pembohongan, kisah kebiadapan dan yang seumpamanya. Rakyat mencari-cari cerita-cerita baik untuk mereka nikmat dalam jiwa keinsanan mereka. Walaupun sebahagian cerita tidaklah begitu besar atau begitu hakiki, namun dalam ketandusan sahara, segelas air sangat bermakna.

Pada masa lepas, dalam negara kita penuh dengan cerita aksesori mewah isteri para besar dan kemewahan hidup mereka. Sehingga orang-orang kampung pun dapat menyebut jenama-jenama mewah pakaian, jam dan beg tangan. Mungkin ada yang sangka rakyat kagum dengan kekayaan yang ditonjolkan. Padahal itu adalah racun kebencian untuk mereka dan suami-suami mereka.

Di zaman rakyat celik pengetahuan, maka rakyat tidak lagi kagum apabila ada orang besar mana-mana istana yang menonjolkan keangkuhan harta dan kuasa dengan para pengawal bagaikan berada di zon perang apabila muncul di khalayak awam. Itu semua tidak menyuburkan hati kasih rakyat. Sebaliknya menimbulkan persoalan dan rasa ‘meluat’ yang boleh menetas di jiwa rakyat. ‘Haibatus Sultan’ atau kehebatan kuasa itu dizahirkan melalui sikap yang tegas dan berani dalam mempertahankan asas-asas negara, perlembagaan, undang-undang dan peraturannya. Bukan dengan menonjol kesombongan dan kemewahan yang melebihi kadar yang patut.

Rakyat mencari-cari ikon pembesar yang dapat mereka berbual tentang teladan dan budi baik. Sudah keletihan dengan cerita-cerita yang negatif. Jiwa tercari kisah-kisah yang positif untuk santapan rasa.

Kita lihat pada awal pertabalan Yang DiPertua Agong yang lepas, banyak cerita yang zahirnya kelihatan positif yang diviralkan. Walaupun dukacita, kemudian hal itu tidak berterusan. Apabila ditabalkan SPB Yang DiPertua Agong yang baru, sekali lagi rakyat mencari-cari teladan terpuji untuk dihidangkan bagi jiwa mereka. Alhamdulillah, setakat ini banyak kisah baik yang disukai oleh rakyat. Permaisuri juga memainkan peranan baginda. Semoga ia berterusan dan bertambah kebaikannya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!