Penoreh getah didenda miliki burung murai batu, duri landak
KUALA KANGSAR - Seorang penoreh getah didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar hari ini selepas mengaku bersalah memiliki seekor burung murai batu iaitu spesies yang dilindungi dan 94 duri landak dua tahun lalu.
Mohd Dzulfadzli Majid, 39, membuat pengakuan salah itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.
Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki seekor burung Murai Batu (copscyhus malabaricus) kurang matang di sebuah rumah di Kampung Bongor, Gerik kira-kira jam 4 petang pada 17 November 2017.
Bagi pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 61 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang membawa hukuman denda RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki 94 batang duri landak raya (hyastrix brachyura) pada tarikh dan lokasi yang sama dan didakwa mengikut Seksyen 60(1)(b) akta yang sama yang membawa hukuman denda RM50,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya.
Mahkamah memerintahkan tertuduh dikenakan hukuman denda RM3,000 bagi pertuduhan pertama atau penjara enam bulan manakala pertuduhan kedua didenda RM2,000 atau penjara empat bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Bagaimanapun tertuduh membayar denda itu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Norfaddilah Abd Latif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!