Cadangan pakai batik ceriakan sidang Dewan Rakyat

Dewan Rakyat -Foto Bernama
Dewan Rakyat -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cadangan pemakaian batik Malaysia di Dewan Rakyat ‘menceriakan’ suasana persidangan pada sebelah pagi ini apabila ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang masing-masing bersetuju dengannya.

Perkara itu dibangkitkan oleh Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) semasa sesi jawab lisan dengan bertanya kepada Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik tentang usaha meningkatkan pemakaian batik di Malaysia terutama di Parlimen, termasuk di Dewan Rakyat pada setiap Khamis.

Menjawab persoalan itu Muhammad Baktiar berkata, kementerian belum menerima jawapan positif daripada pihak Dewan walaupun telah diajukan untuk pertimbangan. Bagaimanapun ahli Parlimen boleh memakai tali leher batik walaupun tidak memakai baju batik.

“Kementerian ini menyambut baik pemakaian batik Malaysia di kalangan rakyat Malaysia terutama di Parlimen termasuk di Dewan Rakyat pada hari Khamis.

“Ia umpama orang mengantuk disorongkan bantal khususnya kepada pengusaha batik tempatan, kementerian mengharapkan pemakaian batik di Parlimen akan dapat menjadi kenyataan dalam masa terdekat,” katanya.

Cadangan pemakaian batik itu turut disokong ahli Parlimen lain termasuk Khairy Jamaluddin (BN-Rembau), Datin Mastura Mohd Yazid (BN-Kuala Kangsar) dan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian), yang rata-rata menyifatkannya sebagai cadangan yang baik.

Sementara itu menjawab soalan tambahan Mastura, Muhammad Bakhtiar berkata, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) sedang bekerjasama dengan beberapa agensi untuk pemeliharaan paten batik.

“Ada usaha daripada pihak Kraftangan untuk menentukan standard ISO bagi pengusaha batik.

Artikel Berkaitan:

“Mereka juga bekerjasama dengan pihak Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan ISO untuk mempatenkan batik yang dihasilkan,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!