KUALA LUMPUR - Seorang pemilik kedai telefon didenda RM8,250 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki 55 video lucah dalam telefon pintarnya. Tertuduh See Foo Hoong, 36, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nur Farahain Razlan. Mengikut pertuduhan, tertuduh mengaku melakukan kesalahan itu bagi kegunaan sendiri dan bukan untuk dijual. Kesalahan itu didakwa dilakukan di kedai makan di Bandar Baru Seri Petaling pada jam 12.30 tengah hari, 25 Oktober tahun lalu. Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya. Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia, (SKMM) Nazrul Nizam Zameri memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam agar tidak melakukan kesalahan yang sama. Tertuduh yang diwakili peguam, K T Tang merayu hukuman berbentuk denda dengan alasan dia perlu menanggung anak dan isteri. Mengikut fakta kes pada tarikh yang sama, anggota polis dan pegawai SKMM berjumpa dengan tertuduh dan membuat pemeriksaan berkaitan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Semasa pemeriksaan, anggota berkenaan merampas telefon pintar dan kad sim.