Lelaki maut kereta bertembung lori
KOTA TINGGI - Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori satu tan di Kilometer 33.5 Jalan Persekutuan Johor Bharu-Mersing pagi tadi.
Mohamad Mastor Kadini @ Kadim, 51, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, kereta dipandu mangsa dipercayai terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum masuk laluan bertentangan di simpang tiga lampu isyarat Jalan Kulai.
"Laporan mengenai kejadian itu diterima jam 9.20 pagi tadi dan dipercayai pemandu lelaki berusia 51 tahun itu dalam perjalanan menghala ke Johor Bharu sebelum hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan di tengah laluan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan.
"Lori yang dinaiki dua lelaki berusia 50 tahun 47 tahun gagal mengelak lalu merempuh bahagian kiri kereta tersebut," katanya.
"Akibat pelanggaran itu pemandu dan kelindan lori mengalami kecederaan dipercayai tersepit dan dikeluarkan oleh pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi.
"Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk mendapatkan rawatan," katanya.
Katanya, orang ramai yang menyaksikan kemalangan tersebut diminta tampil bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!