Pengasuh didakwa sebabkan kematian kanak-kanak
SHAH ALAM - Seorang pengasuh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menyebabkan kecederaan sehingga mendatangkan kematian terhadap seorang kanak-kanak pada Oktober lalu.
Tertuduh, Zuraini Zakri, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rihaida Rafie.
Mengikut pertuduhan, Zuraini pada 22 Oktober lalu antara jam 1.30 petang hingga 3.30 petang di dalam bilik bayi taska di Seksyen 18, Shah Alam didapati cuai menyebabkan kanak-kanak itu cedera fizikal dan mendatangkan kematian.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya.
Terdahulu wang jaminan RM20,000 ditawarkan terhadap tertuduh dengan seorang penjamin ekoran kes berkenaan serius dan perlu menjadi pengajaran.
Bagaimanapun, peguam, M K Thas yang mewakili tertuduh memohon wang jaminan rendah terhadap anak guamnya itu.
Mahkamah membenarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 28 November depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!