Mazlan miliki 300 piring hitam pelbagai saiz

Mazlan menunjukkan sebahagian CD lagu-lagu klasik yang turut dimainkan.
Mazlan menunjukkan sebahagian CD lagu-lagu klasik yang turut dimainkan.
A
A
A

MUAR - Sayup kedengaran irama dan lagu era 60 serta 70-an yang didendangkan hampir setiap hari oleh seorang warga emas di kediamannya memecah kesunyian di kala petang.

Meskipun kelihatan biasa, namun pasti ramai tidak menyangka bahawa alunan irama merdu itu didatangkan daripada putaran set piring hitam semata-mata.

Jika hari ini, koleksi instrumen itu kebanyakannya dijadikan perhiasan oleh peminat barang lama, namun berbeza buat Mazlan Mahmud, 68, apabila piring hitam miliknya masih digunakan untuk menceriakan kehidupannya.

Mula kumpul pada 1973

Bekas kakitangan di Majlis Perbandaran Muar (MPM) ini berkata, sehingga kini, hampir 300 koleksi piring hitam pelbagai saiz berjaya dikumpulkannya.

“Saya mulai kumpul piring hitam ini pada 1973. Masa tu dah bekerja di MPM dan saya beli sedikit demi sedikit pelbagai lagu hits ketika itu.

“Daripada piring hitam bersaiz kecil hinggalah yang besar saya miliki. Dan semua yang saya beli ini saya tak akan jual kepada orang sebab ini hasil titik peluh saya. Malah, semuanya saya simpan rapi sebab ia masih boleh digunakan dan saya mainkan lagu lama ini setiap petang,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, meskipun ada menawarkan harga sehingga RM200 bagi sekeping piring hitam, namun dia nekad untuk tidak menjual barangan kesayangannya itu.

Sertai muzik 1974

Menyingkap kembali kesetiaan beliau terhadap muzik piring hitam ini, Mazlan yang menetap di Sungai Abong, di sini mengakui terus menjadikan barangan itu sebagai sumber alunan muzik dalam dirinya dek kerana alatan itu telah sebati dengan jiwanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, barangan muzik khususnya piring hitam itu bukanlah asing buat beliau lantaran dirinya sebelum ini telah aktif dalam dunia muzik apabila menceburkan diri sebagai pemain gitar bagi mewakili kumpulan muzik di MPM sejak 1974.

“Lepas saya kumpul piring hitam pada 1973, rezeki saya dalam seni muzik ini mulai mencurah apabila ditawarkan membentuk kumpulan muzik MPM bersama beberapa kakitangan lain.

“Kerana saya boleh bermain gitar, maka saya bersama seorang lagi rakan dilantik jadi gitaris manakala seorang lagi ada yang bermain dram dan ada yang dipilih sebagai vokalis.

Mazlan bersama gitar pemberian arwah bapanya yang dibeli ketika usianya 16tahun hasil daripada kerja kebun.
Mazlan bersama gitar pemberian arwah bapanya yang dibeli ketika usianya 16tahun hasil daripada kerja kebun.

“Bermula daripada situ, kehidupan saya berubah apabila kami sering membuat persembahan dalam majlis di MPM sebelum ditawarkan mengadakan pertunjukan sama di bangunan kerajaan lain pula,” katanya.

Menurutnya, kumpulan muzik mereka kerap diundang mengadakan persembahan muzik dan orkestra di majlis perbandaran berlainan termasuk di bangunan RTM di Melaka, Negeri Sembilan dan beberapa pejabat kerajaan lain.

“Masa tu memang saya sibuk sangat sebab ke sana, ke sini buat persembahan. Sehinggakan kami mulai dikenali beberapa rakan artis dan produksi filem. Beberapa tahun kemudian, saya membentuk band baharu apabila rakan muzik di MPM ada yang dipindahkan dan sebagainya. Ketika itu, kumpulan baharu kami turut diundang bermain muzik untuk konsert artis tanah air.

“Malah, beberapa filem dan drama yang memerlukan watak sampingan pemain muzik di majlis kahwin ataupun apa-apa sahaja lakonan muzik pun akan turut mengundang kumpulan kami,” katanya yang turut pernah merakamkan pelbagai muzik nyanyian artis di CD dan kaset.

Piring hitam kembalikan nostalgia

Beliau yang kini terus aktif menjadi pengajar muzik di lima sekolah di daerah ini serta bermain instrumen dalam persembahan zapin berkata, apabila dendangan irama daripada piring hitam kedengaran, ia sekali gus mengembalikan nostalgia Mazlan yang begitu sebati dengan dunia seni itu.

Mazlan masih setia memainkan lagu menggunakan set amplifier untuk memutarkan piring hitam.
Mazlan masih setia memainkan lagu menggunakan set amplifier untuk memutarkan piring hitam.

“Setiap petang saya bila ada kelapangan saya dendangkan pelbagai koleksi lagu yang saya ada antaranya P Ramlee, Saloma, Sharifah Aini, SM Salim, ND Loyd termasuk lagu dari Indonesia dan Bollywood.

“Apa yang saya dapat tatkala dengar semua muzik ini adalah ketenangan sebab bunyi yang kita dengar pun berbeza berbanding dimainkan di radio. Meskipuan ia tidak merdu berbanding muzik yang diputarkan di pembesar suara berkualiti, namun ini adalah muzik asli,” katanya.

Malah menurutnya, alatan yang dibeli pada 1976 untuk mendendangkan lagu dari piring hitam iaitu set amplifier juga masih boleh digunakan hingga ke hari ini.

“Sekarang kalau nak cari set amplifier yang boleh digunakan bukan mudah. Saya harap barang ni akan berada dalam keadaan baik sebab kalau rosak atau hilang, pastinya sukar untuk saya mainkan koleksi piring hitam ini lagi.

“Selain beri kenangan, hobi ini juga dapat mencetus semangat saya. Bila buat kerja nak dengar muzik, memang piring hitamlah saya akan pasang. Malah, saya juga mengakui dah begitu lama tak dengar siaran radio yang ada masa sekarang sampaikan lagu-lagu zaman kini pun saya tak faham bila terdengar di luar,” katanya tertawa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!