Punca kebakaran diketahui dalam tempoh 48 jam: Bomba
KUALA LIPIS - Punca kebakaran di Kampung Baru Cina, Benta di sini dijangka dapat diketahui dalam masa 48 jam, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Nor Hisham Mohammad.
Beliau berkata, pihaknya mempunyai beberapa saksi yang dapat membantu selain bukti fizikal di tempat kejadian.
“Saya tidak fikir ambil masa yang lama mungkin dalam masa 48 jam ini kerana asasnya kita ada ramai saksi yang dapat kenal pasti di mana bermulanya lokasi (punca kejadian). Kita akan fokus mencari penghuni yang mendiami rumah itu dan pada masa sama kenal pasti punca berdasarkan penemuan fizikal yang ada di lokasi,” katanya di sini hari ini.
Nor Hisham ditemui Bernama ketika lawatan mengejut Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke kawasan itu bagi menziarahi 22 mangsa terlibat.
ARTIKEL BERKAITAN: 13 buah rumah terbakar
Dalam kejadian jam 1.08 pagi tadi sebanyak 15 buah rumah di kampung itu musnah dalam kebakaran namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Dalam pada itu seorang penduduk, Wong Kam, 70, berkata, kejadian berlaku ketika dia dan isteri sedang tidur sebelum tersedar apabila terdengar laungan suara orang menyuruh mereka keluar dari rumah.
Wong yang sudah menghuni di situ lebih 60 tahun segera mengejutkan isterinya dan lari menyelamatkan diri.
“Ada orang menjerit, rumah terbakar! Ada dua orang datang tolong. Api merebak cepat. Semua barang hangus,” katanya.
Wong berkata, dia terharu kerana Seri Paduka berkenan menziarahi mangsa serta menyampaikan sumbangan kepada rakyat yang ditimpa bencana.
M Ramany, 62, yang masih terkejut dengan kejadian itu berkata, dia dan suami tiada di rumah ketika kebakaran berlaku kerana berada di Mentakab dekat sini.
Ramany yang sudah menetap 15 tahun di situ berkata, dia akan tinggal di rumah anaknya yang terletak berhampiran kampung itu buat sementara waktu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!