Bayi malang itu milik dia...
JEMPOL - Lelaki yang membuat laporan polis berhubung penemuan bayi di atas meja belakang sebuah rumah di Felda Palong 8 di sini pada 17 Oktober lalu ditahan kerana disyaki membuat laporan palsu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Jempol, Deputi Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, hasil siasatan pihaknya bagaimanapun mendapati kejadian buang bayi sebagaimana dinyatakan individu terbabit tidak berlaku.
"Bayi yang dijumpai adalah milik pengadu iaitu seorang lelaki berusia 24 tahun hasil hubungan sulit dengan teman wanitanya juga berusia 24 tahun.
"Lelaki tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana telah membuat laporan palsu mengenai kejadian sebenar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd Hafiz berkata, selain penahanan lelaki itu, teman wanitanya turut ditahan bagi membantu siasatan bagaimanapun, kedua-duanya telah dibebaskan dengan jaminan polis dan kes dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.
"Bayi lelaki tersebut masih lagi ditempatkan di Hospital Jempol dan di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang bayi ditemui atas meja di belakang sebuah rumah dekat Felda Palong 8.
Bayi masih hidup itu ditinggalkan dalam keadaan berbalut dengan sehelai nota yang kemudiannya ditemui kira-kira jam 10.15 malam oleh seorang penghuni rumah tersebut.
Kandungan nota tersebut berbunyi, "Saya minta tolong jagakan budak ini sampai besar. Saya tak mampu jaga sebab saya ibu tunggal. Tolong jangan hantar ke kebajikan atau pengasuh. Saya amanahkan kepada keluarga ini untuk jaga anak ini. Saya hanya mampu tengok dari jauh. Nama ‘baby’ ini Farish Azwan.”
Itu nota yang ditulis pada kertas yang ditinggalkan bersama bayi lelaki tersebut, sebelum penghuni berkenaan bertindak membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!