Lebih 8,000 daftar Skim Takaful Warga Emas
KOTA TINGGI - Lebih 8,000 rakyat Johor mendaftar di bawah Skim Takaful Warga Emas sekali gus menghampiri angka sasaran yang ditetapkan untuk 56 Dun dalam negeri ini bagi fasa pertama program berkenaan.
Exco Hal Ehwal Islam dan Pendidikan Johor, Aminolhuda Hassan berkata, ia satu angka yang amat baik di mana sehingga semalam sebanyak 18 keluarga telah menerima manfaat dari skim tersebut.
"Setiap keluarga yang kematian pencarum, waris akan menerima sumbangan sebanyak RM1,000 hasil dari apa yang dicarumkan kerajaan khusus untuk keluarga berpendapatan rendah.
"Kita rasa bertuah kerana rakyat Johor walaupun program ini kita belanjakan tidak kurang RM600,000 untuk fasa pertama melibatkan seramai 200 orang untuk satu Dun tetapi berkat perlaksanaan program kerajaan kita dapati hasil kutipan melebihi sasaran kerajaan,"katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan insentif skim berkenaan kepada salah seorang waris di Jalan Kangkong, Taman Sri Lalang, semalam.
Tambahnya, untuk fasa kedua pada tahun ini, jumlah pencarum setiap Dun ditingkatkan dari 200 kepada 300 peserta.
"Kita galakkan skim ini kepada keluarga yang berusia 60 hingga 69 tahun yang sakit kurang mampu segera cari maklumat di pejabat Adun wakil rakyat. Manakala di Dun pembangkang pula boleh terus hubungi wakil penyelaras Dun kerajaan.
"Kita juga minta Adun kerajaan turut sama bertindak agresif untuk menyebar luaskan skim ini untuk rakyat di kawasan mereka," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!