Dendam punca pos PGA Padang Besar diserang: KPN
KUALA LUMPUR - Polis percaya serangan pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) Padang Besar Perlis pada Isnin lalu bermotifkan dendam kerana penyeludup warga asing kini sukar untuk menyeludup keluar bahan mentah dari negara ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, tindakan sedemikian adalah tindak balas penyeludup yang marah dengan PGA menjalankan penguatkuasaan sempadan yang ketat.
"Kami tidak akan bertolak ansur dengan mereka ini (penyeludup) dan saya percaya mereka akan menggunakan senjata api selepas ini kerana susah ingin menyeludup.
“Mereka tidak menembak orang tetapi akan tembak pos kawalan PGA sebagai amaran kerana tidak membenarkan kegiatan menyeludup,” katanya pada sidang akhbar operasi bersepadu khazanah di Bukit Aman di sini.
Abdul Hamid berkata, bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan, PGA perlu dibekalkan dengan kereta perisai iaitu Armoured Personnel Carrier (APC) baharu bagi menggantikan APC lama yang berusia 42 tahun.
“Saya telah maklumkan kepada Kementerian Dalam Negeri agar polis dibekalkan dengan APC baharu supaya dapat membuat rondaan dengan lebih selamat di kawasan sempadan negara,” katanya.
Abdul Hamid berkata, PGA dan polis Cawangan Khas sudah berunding dengan pihak berkuasa Thailand untuk menjalankan siasatan dan mengenal pasti suspek.
"Pihak berkuasa Thailand juga memberi jaminan akan mengetatkan rondaan di kawasan sempadan,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Pos PGA Padang Besar diserang mercun roket
Suspek serang pos kawalan diburu
Pada Isnin lalu pos kawalan PGA di Padang Besar diserang pada kira-kira jam 11.20 pagi dan jam 12.40 tengah hari dengan beberapa das tembakan mercun roket yang antara lain menyebabkan cermin tingkap pos kawalan pecah. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!