Pelancong Britain hilang, enam warga Kemboja ditahan

Ahli keluarga pelancong Britain, Amelia Bambridge yang hilang di Kemboja turut serta dalam operasi mencari mangsa. - Foto AFP
Ahli keluarga pelancong Britain, Amelia Bambridge yang hilang di Kemboja turut serta dalam operasi mencari mangsa. - Foto AFP
A
A
A

KOH RONG - Enam warga Kemboja dilaporkan ditahan untuk siasatan berhubung kehilangan seorang pelancong wanita warga Britain di sebuah pulau yang terkenal dalam kalangan pengembara beg galas.

Menurut seorang pegawai kanan polis, kesemua yang ditahan adalah pekerja bar di Police Beach, sebuah lokasi pesta pantai popular yang juga tempat terakhir Amelia Bambridge dilihat pada 24 Oktober lalu.

"Mereka ditahan untuk siasatan," kata Timbalan Polis Wilayah, Nop Panha sambil menambah tiada kesimpulan dibuat setakat ini.

Lebih 100 anggota tentera darat dan laut serta polis dikerah ke Pulau Koh Rong di wilayah Sihanoukville bagi mencari mangsa berusia 21 tahun itu yang kehilangannya disedari apabila gagal mendaftar keluar dari hostel penginapan.

Difahamkan sebuah beg dan telefon bimbit dipercayai milik mangsa telah ditemui di lokasi terakhir dia dilihat.

Dalam pada itu, satu sumber polis berkata, harapan untuk menemui mangsa masih bernyawa adalah tipis berikutan kekurangan petunjuk dalam operasi pencarian yang berlanjutan selama beberapa hari.

Keluarga Bambridge yang kini berada di Kemboja turut serta dalam operasi pencarian dan pada masa sama meminta bantuan ramai menerusi Facebook untuk sebarang maklumat yang boleh membantu mengesan mangsa. - AFP

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!