Piala Malaysia: Kedah mahu tebus kekecewaan final 2017
KETUA jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak mahu anak buahnya mempamerkan aksi bertenaga dan keazaman tinggi untuk mencapai kemenangan pada final Piala Malaysia edisi tahun ini seterusnya menebus kekecewaan yang dialami pasukan itu pada aksi sama dua tahun lalu.
Kedah akan berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi yang akan berlangsung di Stadium Bukit Jalil, Sabtu ini, lawan sama yang mengecewakan mereka pada final Piala Malaysia 2017 dengan kekalahan 0-2.
Aidil Sharin berkata, peluang beraksi di pentas akhir bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai, justeru setiap pemain skuad Lang Merah perlu memanfaatkan peluang kali ini dan menjulang piala berprestij tanah air itu.
“Insya-ALLAH, saya percaya kepada semua pemain, harapan saya agar keputusan di final nanti memberi keputusan terbaik untuk pasukan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa sesi latihan pasukan Kedah sempena final Piala Malaysia 2019 di Stadium Darul Aman di sini hari ini.
Dalam pada itu, Aidil Sharin berkat, ketiadaan dua pemain pertahanan, Renan Alves dan Mohd Rizal Khazali, yang tidak dapat beraksi kerana digantung permainan tidak akan memberi masalah besar kerana ada pemain lain yang mampu menggalas tanggungjawab mengekang JDT.
Sementara itu, bekas pemain JDT yang kini bersama Lang Merah, Mohd Azamuddin Akil berharap Kedah dapat membuat kejutan Sabtu ini memandangkan bekas pasukannya itu memiliki barisan pemain hebat dan kuat.
"Semua orang tahu JDT ni pasukan yang kuat, kami datang ke Bukit Jalil bukan sebagai pasukan pilihan, tapi kena main macam biasa seperti berlawan dengan Pahang (di peringkat separuh akhir), semasa perlawanan di Pahang, kami tidak fikir apa dan kami enjoy bermain hingga layak ke peringkat akhir ini," katanya.
Bagi pemain pertahanan Kedah, Muhammad Shakir Hamzah pula, tugas berat menanti pasukannya terutama bagi pemain yang dipilih menggantikan Renan dan Rizal yang bertanggungjawab menutup peluang JDT menjaringkan gol.
Beliau bagaimanapun optimis, jika Kedah mampu mempamerkan permainan berpasukan dan tekad yang tinggi keputusan positif mampu dicapai.
Turut berkongsi pandangan, penjaga gol Kedah, Mohd Ifwat Akmal Che Kasim yang bertekad tidak mahu gawang Kedah dibolosi dengan mudah oleh JDT.
“Kami kena bagi tumpuan terutama rembatan luar kotak dan hantaran berbahaya mereka, namun ini Piala Malaysia tentunya saya akan buat yang terbaik dalam misi menjulang kejuaraan kali ini,” katanya yang melihat tiga pemain JDT iaitu Mohd Safawi Rashid, Gonzalo Cabrera dan Diogo Luis Santo sebagai ancaman utama Kedah.
Kedah yang sebelum ini menjulang Piala FA edisi tahun ini melangkah ke pentas akhir Piala Malaysia 2019 menerusi kelebihan gol di tempat lawan selepas mencatat keputusan agregat 8-8 menewaskan Pahang pada peringkat separuh akhir. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!