Hormati mereka yang tidak merokok!
MAAF cakap, bukan saya tidak bersimpati kepada penagih tembakau yang sejak sekian lama tidak kedekut membakar duit untuk masuk angin keluar asap.
Tetapi lebih simpati saya kepada kira-kira 80 peratus penduduk negara ini termasuk kanak-kanak yang tidak merokok tetapi tertekan nafas dan perasaan apabila ada orang merokok berhampirannya.
Maka saya, juga berjuta-juta lagi orang di luar sana, pasti bernafas lega apabila dua hari lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman tujuh individu yang membantah keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) mewartakan semua premis makan sebagai kawasan larangan merokok.
Seperti dilaporkan media, Hakim Datuk Seri Mariana Yahya membuat keputusan itu selepas meneliti semua dokumen serta hujah kedua-dua pihak dan berpuas hati bahawa KKM tidak melanggar Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.
Kata hakim: “Adalah tanggungjawab KKM untuk melindungi 78 peratus populasi yang terdiri daripada 15 tahun ke atas yang tidak merokok untuk menikmati udara segar.”
Walaupun digoda dan dipujuk geng sekolah dan teman-teman kerja, saya tidak pernah menghisap rokok, almaklumlah banyak benda lain yang lebih sedap boleh dihisap.
Tetapi secara peribadi saya tidak pernah anti perokok. Tidak kisah saya bercampur dengan rakan perokok, hatta sekiranya bau tembakau melekat pada baju dan rambut saya, tidak jadi kudis!
Sementelahan pula, isteri saya pun tidak ambil pot sekiranya sesekali pakaian saya berbau asap rokok, tidak kisah sedikit pun. Agaknya dia hanya cakna sekiranya kemeja saya ada bekas gincu!
Tetapi ada ramai orang yang sensitif terhadap asap rokok dan boleh mendatangkan mudarat sekiranya asap hapak lagi hangit itu memenuhi suasana. Golongan inilah yang saya amat simpati.
Selalu saya lihat dan pernah dicoretkan di ruangan ini betapa mereka yang sedang menikmati hidangan di restoran berasa amat terganggu apabila ada orang merokok. Walaupun dulu lagi telah diletakkan tanda di-larang merokok pada dinding dan kaunter, sesetengah perokok berdegil tidak langsung mematuhi tanda itu.
Sudahlah degil, sombong pula. Mereka menyedut rokok dan menghembuskan asap semahu-mahunya tanpa sedikit pun menghormati orang lain yang tidak merokok. Hisap rokok, hembus asap macam serombong kapal dan ketawa macam kedai itu opah mereka yang punya. Lebih sakit hati pemilik kedai tidak berani menegur.
Sekali peristiwa, atas rasa prihatin saya secara baik meminta agar mereka tidak merokok di dalam restoran. Tetapi mereka menjawab:“Maaf, bang. Kita orang pun bayar, bukan makan free. Merokok hak kita!”
Sakitnya hati. Sudahlah degil, sombong, bodoh pula. Mereka bercakap mengenai hak merokok tetapi tidak pula sedar bahawa menikmati udara segar juga adalah hak peribadi.
Lebih-lebih lagi sudah ada tanda larangan merokok. Tetapi fikir punya fikir, tidak guna bertengkar dengan orang bodoh, tidak pasal-pasal kita pun jadi bodoh sama!
Sebab itu apabila KKM menguatkuasakan peraturan larangan merokok di tempat makan bermula 1 Januari lalu, ramai mengalu-alukan langkah tersebut.
Hanya pemilik restoran dikatakan mengeluh kerana Mat Tembakau tidak lagi lepak di restoran sebab tidak boleh lagi berasap-asap sambil terbahak-bahak menonton bola sepak hingga larut malam.
Mereka marah sebab dilarang merokok. Jangan hiraukan kemarahan mereka. Lagipun peraturan KKM itu tidak sekali-kali mengharamkan terus rokok. Peraturan itu masih membolehkan perokok meneruskan ketagihannya tetapi bersyarat mesti berada 30 meter dari premis makan. Saya ingat itu adil.
Tambahan pula mereka masih boleh merokok di banyak lagi tempat yang tidak diisytiharkan sebagai zon larangan. Mereka boleh merokok dalam kenderaan, di dalam rumah hatta di tepi longkang.
Hatta, kalau ketagih sangat dan tidak ada tempat lain yang lebih sesuai mereka boleh saja melepaskan gian di tepi belukar atau di kawasan loji penapisan najis, tidak ada siapa marah pun.
Pendek kata KKM tidak perlu rasa bersalah dengan peraturan tersebut. Kerajaan patut bertegas melindungi kepentingan sebahagian besar yang tidak merokok.
Harap-harap larangan merokok dikuatkuasakan sepenuhnya 1 Januari nanti setelah beberapa kali diberi tempoh percubaan kepada perokok.
Jangan tangguh-tanguh lagi. Persekitaran dan udara bersih adalah hak semua.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!