Kisah arwah mak dan nasi goreng kicap

Nurul Hidayah tidak menyangka ibunya akan pergi meninggalkannya ketika berumur enam tahun. Perkongsian Nurul Hidayah di Twitternya kini tular di media sosial yang meraih 7,600 ulang kicau.
Nurul Hidayah tidak menyangka ibunya akan pergi meninggalkannya ketika berumur enam tahun. Perkongsian Nurul Hidayah di Twitternya kini tular di media sosial yang meraih 7,600 ulang kicau.
A
A
A

PERKONGSIAN seorang gadis di laman mikro Twitter tentang kehilangan ibu ketika berumur enam tahun membuatkan netizen turut berasa sedih dan terharu.

Menceritakan detik itu, Nurul Hidayah Zulkflee, 23, berkata, hari itu dia dikejutkan awal pagi oleh ibunya. Dalam keadaan mamai dia bangun dan bersalaman dengan ibu yang hendak pergi bekerja.

"17 tahun lalu, saya salam mak dan mak pesan di bawah tudung saji ada buatkan nasi goreng kicap untuk kakak, nanti sebelum pergi sekolah makan OK.

Nurul Hidayah (kanan) bersama atuk dan nenek serta adik lelakinya.
Nurul Hidayah (kanan) bersama atuk dan nenek serta adik lelakinya.

"Pastu saya sambung tidur semula dan tak sampai 15 minit jiran sebelah rumah datang ketuk pintu cakap bas yang mak naik masuk gaung," tulis Nurul Hidayah.

Perkongsian ini mendapat perhatian netizen dan menyifatkan hanya hambaNYA yang kuat akan diuji seawal usia begitu untuk kehilangan insan tersayang.

"Saya minta maaf apa yang terjadi pada awak tapi cerita kita lebih kurang sama. Tiga tahun lalu, mak saya pergi bercuti dan saya salam dia mamai ketika Subuh dan hari itu juga dapat panggilan mak dah tak ada," luah @jojohaanna di Twitter.

@Rahmanmana41 pula berkata, "awak seorang yang kuat sebab itu ALLAH tarik orang yang anda sayangi pada umur enam tahun. Bertabah awak dan sentiasa kuatkan semangat. Semoga ALLAH tempatkan ibu anda dalam kalangan orang beriman."

Artikel Berkaitan:

Nurul Hidayah ketika dihubungi Sinar Harian berkata, walaupun kejadian tersebut telah berlaku 17 tahun lalu, namun setiap saat bersama arwah ibunya, Allahyarham Siti Rohayah Johari masih segar dalam ingatan.

Keenakan nasi goreng kicap arwah ibu masih tebal dalam memori. Hidangan itulah yang menjadi kegemaran Nurul Hidayah dan adik yang ketika itu baru berusia setahun.

"Tak sangka itu hidangan nasi goreng kicap terakhir ibu. Dan sejak itu saya tak makan lagi nasi goreng kicap, saya tidak akan masak apatah lagi membelinya.

"Bila saya terlihat orang makan nasi goreng kicap, pasti saya akan terkenang kepada ibu saya sehingga saya merasa sebak," katanya yang kini menetap bersama datuk dan nenek serta adik lelakinya.

Menurut Nurul Hidayah, selepas pemergian ibunya, dia mengalami demam mungkin kerana terkejut kehilangan bonda tersayang.

Antara komen netizen yang simpati atas apa yang menimpa Nurul Hidayah.
Antara komen netizen yang simpati atas apa yang menimpa Nurul Hidayah.

"Mak sepatutnya bercuti pada waktu kejadian namun menggantikan rakan sekerjanya iaitu jiran kami juga kerana demam.

"Mak kejut saya kira-kira pukul 6 pagi namun dalam keadaan mamai saya masih mahu bangun pandang dan salam mak sebelum saya sambung tidur.

"Selepas itu, kami diberitahu, mak dan pemandu antara yang maut. Pemandu bas dipercayai mengantuk sehingga bas beberapa kali terbalik sebelum terhumban ke gaung. Masa tu tak tahulah nak menangis ke tidak tapi saya ingat saya demam disebabkan mungkin terkejut dengan pemergian mak," kongsinya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!