Terjerat dengan sikap 'kau kau, aku aku'

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

TINGGAL di bandar besar, duduk pula di dalam bangunan kediaman yang tinggi melangit tidak sesekali membenarkan kita untuk memberi alasan tidak perlu kenal jiran tetangga.

Tetapi itulah yang berlaku di sekeliling kita pada hari ini. Ramai antara kita yang tidak mengenali jiran sebelah rumah.

Waima bersua muka di dalam lif, masing-masing buat hal sendiri, hendak senyum pun berkira-kira, apalagi hendak bertegur sapa.

Memanglah tidak adil jika nak salahkan sikap semata-mata kerana rata-rata jiran sebelah menyebelah bagi mereka yang tinggal di kawasan pangsapuri adalah bangsa asing daripada pelbagai negara.

Ada yang langsung tidak tahu berbahasa kita tetapi itu tetap bukan alasannya.

Ada sebab mengapa Merak Jalanan bercerita tentang isu jiran tetangga. Ini kisah di kawasan yang terdedah dengan semangat kejiranan. Kawasan rumah teres di kawasan taman.

Ini kisah seorang warga emas usia lingkungan awal 70-an yang berjam-jam merayau-rayau kerana sesat tetapi tidak ada siapa yang ambil peduli.

Budak-budak yang bermain di taman takut nak hampiri dia kerana berpersepsi ‘orang tua itu orang gila’. Orang dewasa lalu-lalang di situ juga hanya mengambil sikap pandang dan pergi.

Artikel Berkaitan:

Warga emas itu akhirnya berjaya dihantar pulang ke kediaman anaknya selepas dibantu oleh seorang lelaki warga Indonesia.

Rupanya warga emas itu tidak ingat jalan untuk ke rumah anaknya selepas keluar membeli jajan untuk cucu-cucunya. Niat dia untuk pusing-pusing kawasan taman berakhir dengan sesat.

Persoalannya, kenapa ada antara kita yang takut dan bersangka tidak baik kepada warga asing yang duduk di kawasan kejiranan kita sedangkan sebilangan besar mereka ini juga ada ‘hati perut’. Bayangkan jika yang tersesat itu ahli keluarga kita, misalnya ayah kita sendiri!

Merak Jalanan nak beri nasihat, sudah-sudahlah hanya pandai sembang belakang dan membawang, jangan sampai terjerat dengan sikap kau kau, aku aku.

Bertegur sapalah dan ambil tahu orang sekeliling, musibah datang tidak kenal masa dan siapa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!