Pahang cadang tubuh badan khas urus pembangunan Cameron Highlands

Wan Rosdy Wan Ismail
Wan Rosdy Wan Ismail
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang bercadang menubuhkan sebuah badan khas yang dinamakan sebagai Lembaga Pembangunan Cameron Highlands bagi menguruskan pembangunan di daerah itu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, lembaga yang akan ditubuhkan itu berfungsi sebagai perancang, penyelaras, dan pengawal selia aktiviti pembangunan mampan di tanah tinggi tersebut tanpa mengabaikan faktor alam sekitarnya.

Menurutnya, Lembaga Pembangunan Cameron Highlands akan turut memberikan tumpuan terhadap pembangunan ekonomi dalam bidang pelancongan, pertanian dan pembangunan tanah dengan menggalakkan pelaburan daripada pihak swasta.

"Ahli dalam lembaga itu akan terdiri daripada wakil kerajaan negeri, wakil agensi persekutuan dan pakar dalam bidang berkaitan,"katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Wan Rosdy yang akan bertindak sebagai pengerusi berkata, jika cadangan itu diluluskan Dewan Negeri, Lembaga Pembangunan Cameron Highlands akan beroperasi awal Januari tahun depan.

Katanya, penubuhan lembaga itu dilihat wajar bagi membaikpulih serta meningkatkan potensi Cameron Highlands ke peringkat ke lebih tinggi.

"Cameron Highlands wajar dijaga sebaiknya supaya keindahan dan kesuburannya dapat terus dinikmati bersama.

"Daerah tanah tinggi itu banyak keistimewaannya kerana mempunyai tanah subur, cuaca nyaman, serta pemandangan yang mempesona. Gabungan unsur ini menjadikan Cameron Highlands tempat berpotensi tinggi dalam bidang pelancongan dan pertanian,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, keistimewaan Cameron Highlands kini kian terhakis akibat sifat tamak segelintir pihak yang menjalankan aktiviti pertanian haram serta membina struktur tanpa kelulusan.

"Tindakan itu menyebabkan pelbagai masalah seperti pencemaran sungai, hakisan dan gelongsoran tanah seperti yang berlaku di Kampung Baru Ringlet dan Lembah Bertam tahun lepas," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!