Rashford mirip Ronaldo
PENGENDALI Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menyifatkan penyerangnya Marcus Rashford memiliki sentuhan penyudah mirip bintang Juventus, Cristiano Ronaldo.
Menurutnya, jaringan yang dilakukan Rashford dalam saingan Piala Liga Inggeris menentang Chelsea awal pagi tadi itu cukup luar biasa dan mengingatkannya kepada sepakan percuma yang dilakukan Ronaldo.
Dalam perlawanan di Stamford Bridge itu, Rashford menjaringkan dua gol untuk membantu The Red Devils menewaskan Chelsea 2-1 dan mara ke saingan suku akhir.
"Sepakan percuma Rashford seperti Ronaldo kan? Dia cukup berbakat. Dia melangkah mengambil sepakan itu dan menjaringkan gol untuk memberikan kemenangan kepada kami. Ia cukup hebat.
"Saya fikir dia (Rashford) bekerja keras dengan sepakan percuma tersebut. Dia sering menjaringkan gol yang hebat. Latihannya setiap hari membuahkan hasil hari ini," katanya.
Solskjaer turut memuji sepakan penalti penyerangnya itu selepas dia dikecam teruk apabila gagal menyempurnakan sepakan penalti dalam beberapa perlawanan sebelum ini.
"Dia mempunyai karakter dan mental yang baik. Saya pernah memberitahunya apabila dapat penalti, jangan fikir panjang dan terus lakukan sepakan.
"Apabila tidak berfikir mengenai kegagalan menyempurnakan penalti dalam beberapa perlawanan sebelum ini, ia tidak akan menggangu tumpuan anda. Itu paling penting," katanya.
Dalam masa sama, Solskjaer turut memuji peranan kesemua pemain yang mampu menewaskan Chelsea dan membawa pasukan mara ke saingan suku akhir Piala Liga Inggeris.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!