Aplikasi online kaki shopping

A
A
A

LONJAKAN dunia teknologi masa kini memungkinkan segalanya. Jika dulu, kaki shopping terpaksa menghabiskan masa dengan beratur panjang untuk mendapatkan barang yang diimpikan, namun kini semua tidak lagi.

Masakan tidak, terdapat lambakan aplikasi yang boleh dimuat turun bagi tujuan membeli-belah. Pendek kata, sambil baring pun boleh membuat pembelian!

Rata-ratanya juga boleh diakses secara percuma. Jika pengguna sejenis yang rajin berulang kali membuka mana-mana aplikasi yang digemari, barangkali penghantaran barang boleh diperoleh secara percuma. Kadangkala, aplikasi membeli dalam talian menawarkan kempen pembelian pada kadar diskaun yang banyak.

Perlu diakui, faktor utama mengapa pembelian secara online mendapat sambutan hangat adalah disebabkan harga barangan yang dijual termasuk barangan segar sekalipun jauh lebih murah berbanding ke pasar raya itu sendiri. Tambahan, ada keperluan yang dijual hanya secara eksklusif dalam talian.

Pada minggu ini, e-Trend akan berkongsi lima aplikasi terbaik yang menjadi pilihan rakyat Malaysia untuk membeli-belah di alam maya!

SHOPEE MY

Pastinya aplikasi membeli-belah terkemuka Asia Tenggara itu sentiasa menjadi pilihan ramai kerana menawarkan pelbagai diskaun menarik termasuk 11.11 Big Sale Shopee Malaysia yang bakal digegarkan pada 11 November nanti.

Artikel Berkaitan:

Barangkali atas faktor itulah yang membuatkan Shopee Malaysia sering menduduki carta pertama dalam carian lima terbaik aplikasi membeli-belah secara online di negara ini.

Seperti semua sedia maklum, Shopee menawarkan tawaran hebat daripada rangkaian runcit, butik dan jenama popular dalam satu bumbung.

Sebagai tambah nilai, mereka juga disifatkan sangat berstrategi apabila bijak menawan hati pengguna terutama pelanggan setia dengan pengumuman pelbagai ganjaran yang sememangnya sangat didambakan.

Aplikasi yang dimuat turun lebih 10 juta pengguna itu turut menawarkan penghantaran percuma dari lebih 30,000 kedai terpilih. Sehingga ke hari ini, Shopee tidak pernah mengecewakan rakyat Malaysia!

LAZADA

LAZADA dikatakan pesaing kepada Shopee. Namun bagi e-Trend, masing-masing mempunyai kekuatan dan pelanggan tetap tersendiri.

Namun, seperkara yang tidak boleh dinafikan, aplikasi Lazada memang sangat popular dalam kalangan rakyat Malaysia dan ASEAN. Jika tidak, masakan mungkin ia mendapat pengiktirafan The Most Trusted Online Shopping Destination in Southeast Asia!

Nampaknya, Lazada bukan calang-calang aplikasi. Dengan penampilan wajah yang lebih segar dan interaktif, aplikasi itu telah dimuat turun oleh 140 juta kaki shopping di seluruh dunia.

Pada masa terdekat iaitu pada 11 November ini, Jualan 11-11 akan dilancarkan. Pastinya, pengalaman membeli-belah dalam talian menjadi cukup meriah dengan 11 juta baucar ditawarkan untuk mendapatkan diskaun tambahan. Jadi, cepat-cepatlah ‘menyimpan’ dalam LazadaWallet.

Lazada antara lain membawakan jenama-jenama besar seperti Samsung, Casio, L’Oreal, Philips, Ray Ban dan banyak lagi. Dari segi penghantaran, jangan risau kerana lazimnya ia terjamin. Lazada dikatakan antara platform yang paling dipercayai lantaran mengutamakan kebajikan pengguna termasuk pulangan wang dengan pantas.

WISH

Satu lagi pilihan buat kaki shopping ialah aplikasi Wish. Jika diperhalusi, Wish turut menawarkan pelbagai produk menarik termasuk aksesori wanita, lelaki, dapur dan fesyen dengan harga cukup berbaloi.

Ada pandangan menyebut, harga ditawarkan melalui platform itu sungguh luar biasa. Ini bermakna, jauh lebih murah hingga mencecah 80 peratus diskaun untuk produk terpilih.

Wish yang merupakan pusat perbelanjaan kegemarab dalam kalangan masyarakat Eropah dan Amerika Utara itu memberi peluang kepada rakyat Malaysia meninjau fesyen-fesyen yang sedang hangat, aksesori terbaharu dan keluaran barangan elektronik hebat yang kadangkala sukar didapati di negara ini atau harganya terlalu mahal.

Berdasarkan rekod tidak rasmi, lebih 150 juta pengguna seluruh dunia cenderung memilih Wish sebagai medium membeli-belah mereka.

Wall Street Journal melaporkan, Wish yang berpangkalan di San Francisco, Amerika Syarikat menerima pendaftaran 31 juta pengguna yang aktif meskipun baru sahaja tiga bulan beroperasi.

E-Trend difahamkan, aplikasi tersebut menggunakan inovasi kecerdasan pembuatan (AI) kerana mampu membaca keinginan atau kecenderungan pengguna terhadap sesuatu produk dengan memaparkan beberapa kedai bersesuaian.

Wish juga menyediakan aplikasi untuk sistem operasi iOS dan Android.

SHOPBACK

Mungkin ramai tidak tahu, ada aplikasi unik yang menawarkan pulangan tunai kepada pengguna meskipun berhabis duit membeli-belah. Itulah yang dipraktikkan oleh platform Shopback yang menggalakkan situasi menang-menang antara kedua pihak.

Dalam memberi pencerahan bagaimana Shopback beroperasi, Pengurus Besar Negara ShopBack, Alvin Gill berkata, aplikasi itu memperoleh komisen apabila pengguna membeli-belah dengan rakan kongsi seperti Zalora melalui platform web atau aplikasi ShopBack.

Setelah itu, ShopBack akan kongsikan komisen tersebut dengan pengguna dalam bentuk pulangan tunai kerana aplikasi itu bertindak sebagai ejen pemasaran yang cukup berbeza berbanding ejen pengiklanan lain.

Kepada para pelanggan yang sudah berdaftar, pastinya anda tidak akan terlepas untuk mendapatkan harga runtuh memandangkan setiap promosi yang dijalankan akan dimaklumkan menerusi e-mel.

Shopback yang dibangunkan di Amerika Syarikat, United Kingdom dan China turut mendapatkan pengiktirafan Gold Award for Best Innovative Start-up (Growth Stage) dan Most Promising Startup To Look Out For 2015.

MUDAH.MY

BAGI e-Trend, aplikasi Mudah.my sudah bertaraf 'legend'. Sejak berdekad lalu, ia merupakan platform paling mudah untuk membeli-belah dan sangat popular di Malaysia sehingga ke era ini.

Di sinilah, pengguna suka membeli, menjual barang baharu atau preloved items dengan harga menarik.

Jika diteliti, terdapat lebih 52 produk dan perkhidmatan yang disusun mengikut kategori mudah dicari seperti gajet, peralatan elektrik, kereta, aksesori wanita dan lelaki serta banyak lagi.

Tiket untuk konsert dan perlawanan bola pun ada!

Seperti namanya, aplikasi tersebut turut memudahkan pengguna untuk mencari bilik sewa, kerja dan ada juga perkhidmatan untuk ubah suai rumah.

Berdasarkan rekod tidak rasmi, lebih 10 juta pengguna telah memuat turun Mudah.my yang kini sedang dipertingkatkan dengan beberapa ciri interaktif termasuk boleh berbual terus dengan penjual atau pembeli dan papan pemuka profil untuk memudahkan urusan jual beli.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!