Imigresen nafi terlibat iklan pakej perkahwinan
KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen menafikan terlibat dalam satu iklan tular di media sosial yang menawarkan perkahwinan antara warga asing dengan rakyat tempatan dengan bayaran RM300,000.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya sudah membuat pemeriksaan di kawasan Bukit Bintang pada Selasa lalu dan mendapati iklan itu kepunyaan seorang lelaki tempatan berusia 40-an.
Menurutnya, lelaki itu mendakwa iklan tersebut digunakan untuk tujuan promosi kepada orang ramai yang lalu di kawasan tersebut.
"Pada mulanya, lelaki ini enggan memberikan kerjasama tetapi selepas melakukan perbincangan dia telah memadamkan perkataan Imigresen daripada notis ini,” katanya menerusi sebuah portal dalam talian hari ini.
Baru-baru ini muncul sekeping gambar yang mempromosikan perkahwinan antara rakyat asing dengan rakyat tempatan dengan bayaran tunai sebanyak RM300,000 kepada wanita dan keluarganya.
Iklan itu turut memberitahu terdapat temuduga yang akan dilakukan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Imigresen dan Majlis Agama Islam Negeri.
Turut dimasukkan dalam iklan tersebut ialah Jalur Gemilang dan logo Jakim.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!