Amaran polis kepada penyokong, usah timbul masalah
POLIS Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran tegas kepada penyokong bola sepak Kedah dan Johor Darul Takzim (JDT) supaya tidak mencetuskan provokasi pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini Sabtu ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap penyokong dan penonton perlawanan yang melanggar arahan.
"Penyokong kedua-dua pasukan diingatkan tidak mengambil tindakan sendiri yang melanggar undang-undang. Usah timbulkan suasana huru-hara, provokasi melampau dan pergaduhan.
"Bertimbang rasalah dan bertolak ansur sepanjang perlawanan berlangsung. Polis sentiasa bersiap sedia menghadapi perkara yang tidak diingini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.
Katanya, polis turut mengingatkan penyokong tidak membawa bahan terlarang seperti mercun, bunga api, suar, botol, minuman keras, laser dan senjata.
Mazlan berkata, sebagai langkah keselamatan, pemeriksaan akan dilakukan sebelum pintu masuk dan selepas memasuki stadium.
Selain itu, seramai 1,560 pegawai dan anggota polis akan bertugas mengawal keselamatan dan trafik pada perlawanan yang dianggarkan membabitkan 85,000 penyokong.
"Kawalan trafik akan dilakukan seawal jam 8 pagi bagi mengelak kesesakan di sekitar kawasan stadium. Anggota trafik akan berada di lokasi yang telah dikenalpasti dan akan membuat lencongan atau penutupan jalan jika keadaan sesak.
"Sebanyak 3,394 lot parkir disediakan untuk kenderaan awam, bas penyokong dan urusetia," katanya.
Mazlan turut mengingatkan orang ramai supaya datang lebih awal dan disyorkan menggunakan pengangkutan awam bagi mengelak kesesakan.
Katanya, tindakan saman dan tunda akan dikenakan jika kenderaan diletakkan di tempat yang tidak sepatutnya.
Beliau juga mengingatkan penggunaan dron tidak dibenarkan bagi mengelakkan tindakan tegas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!