Tokan jus buah masuk jerat
KUCHING - Seorang lelaki disyaki tokan dicekup polis selepas terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah jus buah-buahan bercampur dadah sejak beberapa tahun lalu.
Tangkapan suspek berusia 22 tahun di sebuah di Taman Sin Hai Min, di sini, kira-kira jam 4.30 petang, semalam itu dibuat hasil maklumat dan risikan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Superintendan Sahar Abd Latif berkata, pemeriksaan kemudian menemui sepaket plastik berisi enam biji pil ekstasi, sepaket kristal disyaki dadah ketamin seberat 2.25 gram dan serbuk jus buah serta ekstasi dengan berat kira-kira 18.80 gram.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut menjumpai sekeping kad akses sebuah apartmen di Jalan Tawi Sli, Kuching.
"Dengan dipandu arah oleh suspek yang juga seorang penganggur ini, telah membawa serbuan ke apartmen tersebut.
"Hasil pemeriksaan ke atas apartmen tersebut telah menemui 10 paket campuran jus buah dan serbuk ekstasi, 15 biji pil ekstasi dan kristal disyaki dadah ketamin seberat 6.47 gram," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Tambahnya, turut dirampas adalah peralatan timbang dan pembungkusan untuk kegiatan terbabit dadah.
Beliau berkata, dianggarkan nilai keseluruhan dadah yang dirampas adalah RM9,310.
Mengulas lanjut, Sahar mendedahkan, suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine itu dipercayai telah aktif kegiatan pengedaran sejak Mac 2017 di pusat hiburan sekitar Kuching selain menjadikan apartmen terbabit sebagai tempat pembungkusan jus buah bercampur dadah.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!