Tarik balik produk babi dijangkiti ASF

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Perkhidmatan Veterinar menggesa pengedar dan penjual menarik balik daging dan produk berasaskan babi dari sembilan buah negara yang dikesan dijangkiti virus demam babi Afrika (ASF).

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata, pihaknya telah membuat sekatan pengimportan babi hidup dan produk babi (termasuk produk tin) dari beberapa negara sejak tahun lalu namun masih terdapat pihak yang menjual daging mentah dan produk berkenaan.

"Selain China, kita telah membuat sekatan pengimportan babi hidup dan produk babi dari Poland, Belgium, Thailand, Vietnam, Kemboja, Hong Kong, Myanmar dan Laos," katanya pada sidang akhbar di sini tadi.

Quaza Nizamuddin berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani membentuk satu pasukan petugas untuk mengendalikan operasi bersepadu bagi tujuan pemeriksaan dan mengambil tindakan ke atas kemasukan daging babi, anak babi dan produk berasaskan daging babi di dalam tin secara tidak sah.

"Pasukan ini terdiri daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan bersepadu dilakukan di tiga lokasi antaranya syarikat pengimport dan pengedar produk dalam tin serta dua buah restoran yang menyediakan menu anak babi.

"Setakat ini, kita merampas 60 kotak yang berisi produk berasaskan daging babi.

"Pemeriksaan dilakukan untuk memantau premis pengedar atau penjual supaya menghentikan jualan berasaskan babi atau anak babi yang telah dilarang kemasukannya seperti dari China dan Vietnam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Quaza Nizamuddin berkata, daging babi dan produk berasaskan daging babi yang ditemui di premis syarikat pengedar boleh dirampas dan siasatan akan dilakukan di bawah Akta Kastam 1967(Akta 235) dan atau Akta Maqis 2011(Akta 728).

"Sampel produk berasakan anak babi akan diambil untuk ujian makmal dan tindakan undang-undang boleh diambil di bawah Seksyen 18 dan 19 Akta Binatang 1953.

"Jika ada virus tindakan pemusnahan produk akan diambil," katanya.

Beliau berkata, orang awam perlu membeli produk dari negara yang dibenarkan sahaja.

"Bekalan daging babi yang dibenarkan adalah dari Australia, Kanada, Denmark, Germany, Netherlands, Sepanyol, Amerika Syarikat dan Perancis.

"Bagi produk di dalam tin pula dari Denmark, Perancis, Itali, Singapura, Sepanyol, United Kingdom dan Amerika Syarikat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!