Ribut Siklon: JBPM pantau, ronda persisir pantai

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengarahkan balai-balai membuat pemantauan dan rondaan di pesisir pantai bagi memastikan keadaan sekitar selamat dan tindakan operasi menyelamat dapat berjalan dengan pantas sebagai persiapan menghadapi ribut tropikal Siklon.

Menurut JBPM dalam kenyataan hari ini, semua negeri melalui Pusat Gerakan Operasi (PGO) diarahkan memantau kesiapsiagaan anggota dan aset jabatan termasuk kenderaan darat, air dan udara dan ditempatkan di kawasan strategik bagi memudahkan pergerakan apabila kecemasan.

Pegawai kanan di Ibu Pejabat JBPM, Putrajaya pula diarahkan bertugas secara 'standby' 24 jam di Pusat Pengurusan Operasi (PPO) sejak 2 Jan hingga esok (4 Jan) bagi memantau keadaan semasa operasi Ribut Silkon Tropika serta menguruskan bantuan kecemasan yang melibatkan anggota dan aset jabatan ke negeri-negeri yang terlibat, katanya.

Tiga negeri, katanya, yang terkesan dengan ribut Silkon Tropika itu iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan telah mengambil tindakan seperti yang diarahkan oleh Ibu Pejabat JBPM iaitu membuat rondaan dan memberi khidmat nasihat kepada orang awam yang berada di tepi pantai tentang bahaya ribut itu.

Menurut kenyataan JBPM itu, Ribut Tropika dijangka membadai Kelantan dan Terengganu yang akan menerima hujan lebat dan angin kencang pada kelajuan 40 kilometer sejam (km/j), sehingga boleh memberi kerosakan kepada struktur bangunan terutama rumah di pesisiran pantai, risiko pokok tumbang dan banjir kilat di kawasan terkesan.

Kawasan yang disenaraikan terjejas adalah Jajahan Tumpat, Kota Bahru, Pasir Puteh, Pasir Mas, Machang, Tanah Merah, Jeli dan Kuala Krai di Kelantan manakala daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang di Terengganu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!