Pesara polis maut motor langgar tiang elektrik
SLIM RIVER - Seorang pesara polis maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar tiang elektrik di KM108 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, Mohd Khairudin Yusof, 58, berasal dari Felda Sungai Behrang di sini, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dialaminya.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, mangsa menunggang motosikal jenis Kawasaki ER 650 dipercayai menunggang sendirian menuju ke Slim River.
"Tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa disyaki terbabas ke kanan jalan lalu terlanggar tiang elektrik. Kemalangan itu menyebabkan mangsa terpelanting ke hadapan manakala motosikalnya terseret sejauh 31.2 meter," katanya.
Menurutnya, mangsa merupakan pesara Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim dan mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Slim River.
"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah ‘polytrauma due to motor vehicle accident’. Motosikal mangsa dibawa untuk pemeriksaan Puspakom dan sampel darah dihantar ke Jabatan Kimia Ipoh untuk dianalisa," katanya.
Wan Kamarul Azran berkata, siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!