Hukum baca aplikasi al-Quran apabila ada mushaf berhampiran kita
LAZIMNYA, ada banyak mushaf al-Quran tersusun kemas di rak-rak di dalam masjid mahupun surau.
Maka sesiapa bebas mengambil dan membaca mushaf berkenaan apabila masuk ke dalam rumah ALLAH itu.
Namun, ada juga orang yang lebih selesa membaca al-Quran menerusi aplikasi al-Quran yang terdapat dalam telefon pintar masing-masing.
Apakah hukum membaca al-Quran menerusi aplikasi di telefon bimbit sedangkan ada banyak mushaf al-Quran di rak-rak berhampiran?
Sebelum menjawab tentang persoalan itu, perlu difahami bahawa mushaf ialah sebuah kitab yang dikumpulkan padanya semua ayat al-Quran dalam bentuk cetakan secara jelas.
Maka, majoriti para ulama menyatakan, diwajibkan berada dalam keadaan berwuduk ketika menyentuhnya.
Malah, hukum membacanya adalah diutamakan berbanding yang lain.
Adapun membaca al-Quran pada aplikasi al-Quran telefon pintar juga tidak menjadi kesalahan kerana ia adalah ayat-ayat al-Quran, kemudahan yang ALLAH SWT kurniakan.
Pandangan itu dinukilkan daripada jumhur ulama kontemporari seperti Sheikh Dr Soleh al-Munajjid, Sheikh Dr Abdul Rahman Nasir al-Barak dan selainnya.
Di samping itu, tidak mengapa jika membacanya dalam keadaan tanpa wuduk, juga tiada masalah jika menyentuhnya.
Namun, perlu difahami bahawa menjaga hak al-Quran pada hukum asalnya adalah berada dalam keadaan berwuduk sebagai adabnya.
***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan pendakwah dan penulis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!