Guru cabul murid dijel enam bulan
PUTRAJAYA - Seorang guru yang digantung tugas dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,000 selepas gagal dalam rayuan akhirnya di Mahkamah Rayuan, berhubung sabitan terhadapnya atas kesalahan mencabul kehormatan seorang murid tahun enam.
Hakim, Datuk Yaacob Md Sam yang mengetuai panel tiga hakim berkata, mahkamah mendapati tiada kekhilafan boleh dirayu di pihak Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Majistret yang mensabitkan kesalahan terhadap Zulkifli Hashim, 50, atas pertuduhan itu.
Panel hakim itu yang turut dianggotai Datuk Suraya Othman dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah sebulat suara menolak rayuan Zulkifli terhadap sabitan ke atasnya itu.
Hakim Yaacob bagaimanapun membenarkan rayuan Zulkifli terhadap hukuman dengan mengurangkan tempoh hukuman penjara daripada dua tahun kepada enam bulan atas alasan bahawa tempoh hukuman penjara dua tahun yang dikenakan ke atas Zulkifli adalah nyata berlebihan.
Mahkamah mengekalkan denda RM2,000 atau penjara enam bulan.
Beliau berkata, tempoh hukuman penjara akan bermula hari ini dan akan mengambil kira Zulkifli berada di penjara selama tiga bulan 12 hari setelah Mahkamah Majistret tidak membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman.
Zulkifli kemudian dibenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman oleh Mahkamah Tinggi sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Zulkifli telah mencabul kehormatan murid berumur 12 tahun itu di dalam bilik darjah sebuah sekolah di Jitra, Kedah pada 10 pagi 2 Mac 2014.
Dia didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret dan dijatuhi hukuman penjara dua tahun serta denda RM2,000. Rayuannya di Mahkamah Tinggi ditolak.
Dalam keterangannya semasa perbicaraan, mangsa berkata, Zulkifli yang mengajar subjek Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan datang dari hadapan bilik darjah dan berdiri di sebelah kanan mangsa.
Menurut pelajar itu, dia kemudian merasakan gurunya itu merabanya lalu dia menjerit dan perayu terus beredar tanpa berkata apa-apa.
Timbalan Pendakwa Raya Jasmee Hameeza Jaafar hadir bagi pihak pendakwaan manakala Zulkifli diwakili peguam Ariff Azami Hussein. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!