'Jangan lupa, komik Najib pun diedarkan di sekolah'
KUALA LUMPUR - Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berpendapat isu komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ telah dipolitikkan lantas menjadi buah mulut ramai pihak.
Menurutnya, sebelum ini komik mengenai bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga pernah diedarkan di sekolah namun pembangkang pada waktu itu tidak menjadikannya sebagai isu.
Mengakui belum membaca komik itu secara keseluruhannya, Kor Ming merasakan adalah wajar kerajaan mempertimbangkan semula keputusan mengharamkan komik tersebut.
“Tapi kalau kata edarkan komik itu maka ia perlu diharamkan, mungkin adalah wajar kerajaan boleh mengkaji semula keputusan sedemikian.
“Jangan lupa masa zaman Najib dulu, komik Najib pun diedarkan di sekolah tapi waktu itu pembangkang tak jadikan itu sebagai isu,” katanya pada program Sinar Live di sini hari ini.
Menurutnya, rakyat perlu bersikap rasional dan tidak mudah masuk ke perangkap kempen-kempen yang ‘ada udang di sebalik batu’.
“Khususnya, jangan kita jatuh dalam perangkap sentimen perkauman dan fahaman radikal. Seperti pembangkang, dia sarankan kerajaan supaya siasat siapa terlibat dalam komik ini termasuk duta besar dari China.
“Sekiranya ia menjejaskan perasaan negara China, mereka tersinggung dan berhenti beli kelapa sawit dari Malaysia, siapa akan tanggung kerugian?
“Siapa sebenarnya terima musibah akibat hubungan diplomatik yang terjejas ini,” katanya.
Justeru, beliau menegaskan setiap keputusan yang dibuat, kerajaan perlu memastikan ia baik untuk negara.
Minggu lepas, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan akan merampas komik didakwa berunsur propaganda yang diedarkan ke sekolah.
Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rampasan akan dilakukan susulan pihaknya telah mewartakan perintah larangan terhadap komik itu termasuk versi bahasa Inggeris dan bahasa Cina.
Kelmarin, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengambil pendekatan selamat dengan tidak mengulas siasatan terhadap komik tersebut.
“Biar ini berjalan dulu sebelum saya buat apa-apa komen supaya (saya) tak dianggap sebagai campur tangan (dalam siasatan),” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!