Bukan hilang, tapi salah naik bas...
SUBANG JAYA - Bukan hilang sebaliknya salah naik bas sekolah! Itu penjelasan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkaitan mesej tular mengenai kehilangan seorang murid tahun satu petang, semalam.
Dalam kandungan mesej itu menyatakan Fudzla Suraya Mohd Fairul disedari hilang selepas tamat sesi persekolahan pada hari kedua, semalam.
"Fudzla Suraya Bt Mohd Fairul. Umur 7 tahun hilang pada 6 petang 3 Januari 2019.. disedari hilang pada waktu balik dari sekolah.. lokasi terakhir Putra Height.. mohon bantuan jemaah," tulis mesej yang tular di aplikasi WhatsApp itu.
Mohammad Azlin berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kehilangan kanak-kanak berkenaan.
"Namun daripada maklumat yang kita terima, pelajar ini didapati tersalah naik bas ketika pulang dari sekolah.
"Sepatutnya dia naik bas tertulis MILAH 1 tapi ternaik bas MILAH 2. Ibu bapanya ke sekolah selepas dapati anaknya tak balik ke rumah tapi pemilik bas dah hubungi guru beritahu mengenai insiden tersalah naik bas itu.
"Pemilik bas sekolah kemudian hantar murid tersebut ke rumahnya, kedua-dua bas tersebut dimiliki pengusaha bas sekolah yang sama," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!