Aksi mendebarkan gajah sambut pengunjung
BANGKOK - Seekor gajah liar tiba-tiba muncul dengan aksi mendebarkan menyambut kedatangan pengunjung di Taman Negara Khao Yai di Bangkok, Thailand beberapa hari lalu.
Melalui satu rakaman foto dan video gajah jantan yang dikenali sebagai Duea, 35, kelihatan berjalan di sebelah sebuah kereta di taman di wilayah Nakhon Ratchasima.
Duea dilihat berjalan melepasi kereta sebelum berbaring di atas kenderaan itu dan pemandu kereta bertindak pantas memecut kenderaannya jauh dari gajah itu.
Rakaman video tersebut juga menunjukkan cermin belakang kereta pecah manakala bumbung dan bahagian badan kereta juga rosak.
Tidak jelas berapa ramai orang di dalam kereta, tetapi tidak ada yang cedera dalam kejadian itu.
Sementara itu dalam satu kenyataan, Taman Negara Khao Yai menyatakan gajah jantan itu kebiasaannya keluar dari hutan semasa musim hujan dan cuaca sejuk.
Malah para pelancong dan pengunjung juga dinasihatkan supaya bertindak dengan sewajarnya apabila gajah liar itu muncul.
Katanya, pemandu sepatutnya menghentikan kenderaan mereka kira-kira 30 meter daripada haiwan tersebut.
"Pemandu perlu berundur jika gajah semakin menghampiri dan jika kereta itu dikelilingi sekumpulan gajah, pemandu perlu mengalihkan kereta ke kawasan yang kurang haiwan itu.
"Jangan memberhentikan kereta untuk mengambil gambar kerana ia boleh mendatangkan bahaya kepada kenderaan dan keselamatan pemandu serta penumpang. Jangan membunyikan hon atau membuat bunyi bising, " katanya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!