Banjir makin pulih, jumlah mangsa berkurang kepada 1,330 orang
KUALA LUMPUR - Keadaan banjir di tiga negeri Selangor, Perak dan Kedah terus bertambah pulih dengan beberapa pusat pemindahan mula ditutup apabila penduduk dibenar pulang ke rumah masing-masing,
Keadaan di Johor, Pulau Pinang dan Perlis pula pulih sepenuhnya dan semua pusat pemindahan ditutup semalam.
Setakat jam 6 petang ini, bilangan mangsa banjir di tiga negeri yang masih terjejas itu berkurang kepada 1,330 orang berbanding 1,630 orang pada sebelah pagi dan beberapa pusat penempatan sementara dilapor ditutup secara berperingkat mulai tengah hari.
Di SELANGOR, seramai 678 orang masih ditempatkan di tiga pusat pemindahan, manakala pusat pemindahan di Kuala Selangor iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Pasangan dan SK Jaya Setia ditutup petang ini.
“Kesemua mangsa di pusat itu pulang ke rumah masing-masing secara berperingkat mulai jam 12 tengah hari tadi,” kata Smart Selangor Command Centre (SSCC) dalam kenyataan hari ini.
Tiga pusat pemindahan sementara yang masih beroperasi ialah dua di Kuala Selangor iaitu SK Parit Mahang (604 orang) dan Sk Ijok (70 orang) dan satu di Gombak iaitu Balai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Matang Pagar yang menempatkan empat orang dari satu keluarga.
Di PERAK, seramai 500 orang dari 129 keluarga masih ditempatkan di empat pusat penempatan sementara manakala dua pusat pemindahan di Hilir Perak iaitu SK Dato' Yahya Subban dan Dewan Orang Ramai Sungai Klah Baru ditutup petang ini.
Di KEDAH, seramai 104 orang dari 32 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan di daerah Pendang dan berikutan keadaan yang hampir pulih dan cuaca yang cerah, kesemua mangsa yang ditempatkan di Dewan Cenderawasih itu dijangka pulang ke rumah masing-masing bermula esok.
Pegawai Daerah Pendang merangkap Pengerusi Pengurusan Bencana daerah, Syed Khairol Anuar Syeh Abidin berkata, paras air Sungai Pendang juga tidak lagi berada pada paras bahaya. Paras air sungai itu turun kepada 2.6 meter (amaran) berbanding 2.79 meter (bahaya) pagi tadi.
“Insya- ALLAH, sekiranya tiada hujan dan aliran air lancar, penduduk boleh pulang ke rumah esok. Pihak bomba dan Angkatan Pertahanan Awam juga akan terus meninjau kampung terjejas bagi membuat pemeriksaan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!